STADIUM Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sekali lagi menjadi pilihan sebagai venue perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2022 pada 26 November 2022.
Pemilihan SNBJ yang dianggap venue neutral paling sesuai bagi penganjuran aksi final TM Piala Malaysia edisi ke-96 itu dibuat atas beberapa faktor iaitu keadaan padang, kapasiti stadium, penyiaran, akses pengangkutan awam, kemudahan dan ruang yang luas untuk aktiviti penaja serta keselesaan dan keselamatan penonton.
Bagi tujuan itu, pihak Malaysian Football League (MFL) telah melakukan tinjauan dan pemeriksaan keadaan padang serta kemudahan-kemudahan di SNBJ bersama dengan wakil Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) hari ini.
Hasil pemeriksaan dan maklum balas daripada pihak PSM mendapati keadaan padang SNBJ dalam keadaan baik dan proses penjagaan rapi akan terus dilakukan menjelang aksi final itu nanti.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, pihaknya berterima kasih kepada PSM yang sedia bekerjasama sekali lagi selepas kejayaan penganjuran perlawanan akhir Piala FA pada 10 September 2022 di SNBJ.
“Sudah pasti bagi MFL kami gembira untuk menganjurkan aksi final TM Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas final Piala FA yang berjalan lancar serta meriah dengan kehadiran lebih 84,000 penyokong. Jadi kami jangkakan sambutan yang sama bagi perlawanan akhir TM Piala Malaysia nanti.
“Kita juga sedia maklum, Stadium Nasional Bukit Jalil adalah gelanggang yang boleh menampung kapasiti penyokong yang ramai dengan fasiliti terbaik jadi kami percaya ini akan memberikan keselesaan dan keselamatan buat penyokong yang hadir.
“Selain itu sudah pasti antara yang turut dititikberatkan adalah kualiti padang dan saya percaya dengan pengalaman PSM dalam mengendalikan final sebelum ini, mereka akan membuat persiapan rapi dalam aspek penjagaan padang menjelang final pada 26 November ini,” katanya.