GERGASI Merah Kuning bakal menerima ganjaran sekiranya menjulang Piala Malaysia pada perlawanan akhir menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, tidak dinafikan jika mencatat kejayaan, akan ada bonus, begitu juga dalam syarika, kalau kita capai KPI mestilah kakitangan akan diberikan bonus.
“Kita akan menghargai segala pengorbanan, komitmen dan sumbangan pegawai dan pemain dan segalanya. Mereka dah buat yang terbaik sampai tahap ini, mereka pasti akan buat yang terbaik nanti(pentas akhir).
“Kita akan berikan ganjaran sewajarnya dengan usaha mereka,” katanya ditemui pada Majlis Pengumuman Kerjasama antara FAM dan jenama barangan sukan, Puma di Shah Alam.
Dalam perkembangan sama Dr Johan memaklumkan kira-kira 35,000 penyokong Merah Kuning bakal memenuhkan SNBJ.
“Sehingga jam 12 tengah hari ini, 30,000 tiket telah terjual dan dijangkakan baki 5,000 tiket yang diperuntukan buat Selangor dijangka habis.
“Sokongan pemain ke-12 sememangnya diharapkan untuk memberikan sokongan dan semangat kepada pemain,” katanya.
Kali terakhir Selangor menjulang Piala Malaysia pada 2015 dengan menumpaskan Kedah, 2-0 di Stadium Shah Alam.