KEKUATAN yang ada pada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah diketahui ramai dan mereka pastinya akan menjadi pasukan pilihan dalam setiap perlawanan yang ditandingi dalam kejohanan domestik.

Selain itu, kejayaan layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC juga memberikan kelebihan buat JDT dalam menyerap tekanan serta ancaman yang bakal diberikan pasukan lawan.

Harimau Selatan juga mempunyai ‘squad depth’ yang baik kerana mereka perlu melakukan penggiliran pemain bersesuaian dengan jumlah permainan yang mereka tempuhi sepanjang musim.

Hassan Sazali Waras

Atas faktor inilah bekas pengendali skuad Harimau Malaya B19, Hassan Sazali Waras cenderung untuk memilih skuad Harimau Selatan sebagai calon juara Piala Malaysia kali ini menewaskan Selangor FC.

Hassan yang dihubungi FLASH SUKAN juga berkata dengan mempunyai ramai pemain yang berkualiti, barisan kejurulatihan JDT mempunyai banyak pilihan untuk merencana strategi untuk memastikan Piala Malaysia kembali ke selatan tanah air.

“Untuk final kali ini saya memilih Johor Darul Ta’zim kerana mereka mempunyai barisan pemain yang setanding di antara kesebelasan utama dan juga di barisan pemain simpanan. Ini adalah satu perkara yang menjadi faktor utama untuk mereka meraih kejuaraan.

“Disebabkan ‘squad depth’ yang baik, Ketua Jurulatih, Hector Bidoglio kini mempunyai banyak pilihan pemain bagi merencana strategi dan juga untuk mengimbangi kelemahan pasukan ketika bertemu Selangor pada perlawanan akhir hari Sabtu ini,” jelasnya.

Sebagai seorang jurulatih berpengalaman, Hassan tentu mempunyai sebab untuk memilih JDT sebagai juara namun tidak menolak kemungkinan kejutan yang bakal diberikan oleh Selangor kerana dalam bola sepak segalanya boleh terjadi.

JDT dalam misi memburu kejuaraan ‘quadruple’ selepas memenangi tiga piala domestik musim ini dan mereka juga akan menggunakan aksi final ini sebagai pengubat luka tewas kepada Kuala Lumpur City FC musim lalu.