KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menganggap perlawanan akhir pada Sabtu adalah satu lagi perlawanan yang berbeza dan menjangkakan satu aksi yang sukar selepas melalui laluan yang berliku untuk ke perlawanan akhir.
Hector juga sedar lawan mereka di final, Selangor FC bukanlah lawan yang mudah dan mahu pemainnya menumpukan sepenuh perhatian dan tidak melakukan kesilapan bagi memastikan Piala Malaysia kembali ke Johor.
Mengulas mengenai peluang JDT untuk muncul juara ‘quadruple’, bekas pemain antarabangsa Venezuela itu menganggap ianya adalah tanggungjawab yang berat bagi setiap pemain dan akan memberikan segala-galanya pada aksi final.
“Perlawanan esok pastinya sukar kerana ini adalah perlawanan akhir. Laluan kami ke final bukannya mudah tetapi kini para pemain berada pada tahap terbaik dan gembira untuk bermain dalam satu lagi perlawanan akhir.
“Kami sedar, Selangor dan JDT adalah pasukan yang kuat di Malaysia. Kami tidak boleh melakukan sebarang kesilapan dan akan turun dengan motivasi yang tinggi dan bermain permainan kami seperti biasa.
“JDT adalah sebuah pasukan yang masih berkembang dan kami hanya memikirkan tentang pasukan kami kerana kami masih belum mencapai tahap maksimum kami dan akan bermain permainan kami pada perlawanan akhir nanti.
“Ianya amat penting untuk kelab kami terutama kepada pemilik, DYAM Tunku Ismail untuk memenangi empat piala musim ini dan ini adalah tanggungjawab semua dalam pasukan ini untuk memastikan Piala Malaysia kembali ke bumi Johor,” katanya pada sidang media pra perlawanan.
Hector juga mengakui Selangor mempunyai kekuatan terutama di barisan pertahanan dan juga melalui ‘set pieces’. Kami perlu berhati-hati dengan keadaan ini namun JDT juga sudah mengenalpasti beberapa kelemahan yang ada pada pasukan Selangor.
JDT dan Selangor akan bertemu buat kali pertama dalam final Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada 1991 dengan JDT mahu melengkapkan misi ‘Quadruple’ manakala Selangor mahu mengejar misi ke-34 dan tiket ke Asia musim hadapan.