TINDAKAN tegas akan diambil kepada mana-mana penyokong yang didapati membawa masuk dan mengibar bendera berunsurkan politik semasa perlawanan final Piala Malaysia, malam ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid berkata, sebarang perasaan tidak puas hati tidak seharusnya dibawa ke stadium.

“Mungkin kita masih terawang-awang dan teringatkan dengan apa yang berlaku dalam negara ketika ini.

“Bendera-bendera melibatkan politik, mungkin kat luar tu kata tak puas hati orang itu dan ini, jangan bawa masuk kedalam stadium yang datangkan provakasi kepada negara,” katanya pada sidang media keselamatan Piala Malaysia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pegawai dan anggota akan ditugaskan untuk menjaga keselamatan luar dan dalam stadium menjelang perlawanan JDT menentang Selangor FC.

“Ia termasuk PDRM, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU), unit anjing pengesan PDRM (K9), unit berkuda, unit pemusnah bom, jabatan siasatan dan penguatkuasaan trafik (JSPT) dan response team.

“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan akan dilakukan di setiap pintu masuk stadium serta selepas penonton memasuki pekarangan stadium.

“Pemeriksaan akan meliputi pemeriksaan tubuh badan, dalam beg serta barangan yg dibawa oleh penonton” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya juga akan menempatkan anggota berpakaian preman dikalangan penyokong kedua-dua pasukan untuk memastikan perlawanan berjalan lancar.