KEJAYAAN pasukan Selangor FC layak ke final Piala Malaysia 2022 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu banyak bergantung kepada hantaran maut pemain tengahnya, Mukhairi Ajmal Mahadi.

Mukhairi, 21 yang juga kapten skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan menyempurnakan tiga hantaran menerusi sepakan sudut yang baik untuk memberikan Gergasi Merah tiga gol penting ketika aksi separuh akhir pertama sekaligus menumbangkan Terengganu FC.

Ketangkasannya mengemudi barisan tengah Selangor semakin meningkat sejak pasukan ini diambil alih Tan Cheng Hoe sebelum bermula kempen Piala Malaysia musim ini yang kini sudah tiba di kemuncaknya.

Sulaiman Hussin

Penolong jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin memilih Selangor untuk muncul juara Piala Malaysia buat kali ke-34 kerana keinginan untuk mengejar tiket ke kejohanan Piala AFC musim hadapan.

Selepas cemerlang membantu Selangor layak final, atas sebab itulah bekas pengendali UKM FC itu memilih Mukhairi Ajmal sebagai pemain yang perlu diberikan perhatian kerana dia bakal menjadi ‘game changer’ buat Selangor dan pemain ini perlu diberikan perhatian oleh barisan pemain JDT.

“Saya menjangkakan Selangor akan muncul juara kerana momentum baik yang ada pada mereka ketika ini dan ianya jelas memberikan satu kelebihan buat Selangor selain mereka mahu mengejar tiket automatik ke Piala AFC musim hadapan.

“Selain itu aura penyokong yang akan turun beramai-ramai dengan membawa semangat misi 34 ini turut akan memberikan semangat tambahan kepada Selangor yang sudah lama tidak beraksi di final Piala Malaysia.

Aksi Mukhairi Ajmal

“Mukhairi Ajmal bakal menjadi ‘game changer’ buat Selangor di Stadium Nasional nanti dan gandingannya bersama Alex Agyarkwa serta pemain Myanmar, Hein Htet Aung perlu diberikan perhatian oleh barisan pemain JDT,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Selangor cuba untuk menamatkan kemarau kejuaraan setelah kali terakhir melakukannya pada 2015 namun perlu mengatasi kekentalan barisan Johor Darul Ta’zim yang dalam misi memburu kejuaraan ‘quadruple’ dalam aksi final yang pastinya mendebarkan.