AURA Tan Cheng Hoe sejak melatih Selangor FC menjelmakan semangat luar biasa bukan sahaja kepada pemain tetapi buat para penyokong fanatik Gergasi Merah.
Presiden Anak Selangor Fans Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata, karisma dimiliki Cheng Hoe merubah skrip pasukan mereka yang pada mulanya terumbang-ambing dan mencari kembali rentak permainan.
Namun, segalanya bertukar 100 peratus sehingga berjaya memacu Selangor kembali ke pentas akhir TM Piala Malaysia musim ini sejak kali terakhir mara pada 2016.
“Syukur kerana skuad kita berjaya mengesahkan tempat perlawanan akhir. Sebagai penyokong setia, saya amat teruja dengan peningkatan ditunjukkan oleh pemain selain penuh berdisiplin.
“Saya pasti dan yakin juara sebab kita ada Cheng Hoe. Perancangan, taktikal dan tenaga kejurulatihan berjaya meresapi kepada para pemain.
“Inilah masanya Selangor kembali memenangi Piala Malaysia yang cukup sinonim dengan pasukan kita. Apa yang perlu dilakukan kekal tenang dan bermain seperti biasa menikmati perlawanan akhir.
“Selangor juga mengejutkan ramai pemerhati kerana pasukan liat yang susah Selangor nak makan musim ni seperti Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC sudah disingkirkan,” katanya akan berkonvoi ke Bukit Jalil pada Sabtu ini.
Selain itu, dia turut menuntut seluruh penyokong setia Selangor membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini yang dilihat mampu memberi semangat berganda buat semua pemain.
“Memang suasana berbeza pada perlawanan final Piala Malaysia dan setiap tahun setiap penyokong negeri masing-masing memberi sambutan yang hebat.
“Kita adalah Selangor dan kami akan tetap berada di belakang para pemain. Saya berharap kejayaan Selangor layak ke pentas akhir menimbulkan keghairahan lebih ramai penyokong ke stadium dan memastikan sokongan mereka dapat memberi semangat kepada pemain untuk mendapatkan kejuaraan ke-34 buat Selangor,” katanya.