PEMAIN pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar nyata teruja dan tidak sabar beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Menurutnya mesra di sapa Afro, dia ingin merasakan detik kejayaan beraksi di pentas akhir kali ini bersama penyokong Merah Kuning setelah gagal dalam aksi Piala FA apabila kecundang di peringkat separuh akhir menentang Terengganu FC.

“Kami satu pasukan gembira, sudah lama kami hendak merasa final. Sebab sebelum ini kami terkandas di separuh akhir Piala FA.

“Jadi, final kali ini kami ingin merasa detik final bersama penyokong seramai ini. Rakan-rakan perlu fokus dalam mengekang JDT,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan akhir Piala Malaysia di Bilik Media, Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jelasnya lagi, dia mengakui berasa gugup kerana ianya merupakan aksi pertamanya di pentas akhir kejohanan domestik sepanjang bergelar pemain professional.

Biarpun demikian, pemain berusia 23 tahun itu menyedari dia perlu cepat menyerap tekanan tersebut dan mengekalkan fokus mengekang asakan pasukan JDT.

“Ini pun piala yang terbesar di Malaysia, jadi bagi saya, kali pertama saya merasa beraksi di final. Semestinya saya gugup, kami rasa kami perlu ‘settle down’ cepat dan fokus mengekang setiap pergerakan JDT,” jelasnya.

Menyedari hakikat serta harapan penyokong yang sudah lama mendambakan agar piala ini dibawa pulang ke bumi Selangor, Sharul merasakan inilah detik terbaik pasukan Selangor FC memberikan segala-galanya untuk mengatasi JDT dalam perlawanan akhir esok.

“Bagi saya, Selangor pun sudah lama tidak menjuarai piala, jadi saya rasa inilah masa yang terbaik untuk para pemain menunjukkan bakat dan memenangi Piala Malaysia tahun ini dan saya harap semua rakan-rakan beri yang terbaik untuk 90 minit perlawanan malam esok,” ujarnya.

Selain itu, anak jati Selangor tersebut menyeru rakan sepasukan menampilkan permainan terbaik serta memberi tumpuan yang lebih kepada beberapa key players Harimau Selatan yang dijangka bakal mengasak kubu pertahanan Selangor bertubi-tubi dalam pentas akhir esok.

“Kita pun tahu pemain JDT kebanyakan bagus dan banyak pemain kebangsaan. Kami perlu bermain seperti biasa. Kami pun tahu Bergson, Arif Aiman dan Forestieri gandingan yang sangat baik. Saya mahu rakan-rakan fokus mengekang asakan JDT,” kongsinya.