PENGGUNAAN Video Bantuan Pengadil (VAR) tidak akan digunakan bagi aksi final Piala Malaysia 2022, pada 26 November ini.
Pengesahan itu dibuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Timbalan Presidennya, Datuk S.Sivasundaram.
Menurut Sivasundaram, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan penggunaan teknologi itu tidak digunakan meskipun venue perlawanan akhir Piala Malaysia iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pernah menggunakannya sebelum ini.
“Kalau ada (VAR) saya boleh cakap ada. Kita belum bincang dengan MFL (Malaysian Football League) berkenaan perkara ini. Malah, kita juga perlu berbincang dengan pihak stadium.
“Saya rasa kemungkinan paling awal (menggunakan VAR) pada Piala FA. Mungkin pada aksi separuh akhir atau final nanti kita akan lihat perkara lain kerana pengadil kita perlu dilatih terlebih dahulu yang mungkin ambil masa sekurang kurangnya enam bulan.
“Selain itu kita juga perlu dapat kelulusan dari FIFA. Jadi setakat ini kami tidak boleh janji bila kerana ia melibatkan banyak perkara,” katanya.
Sebelum ini, penggunaan teknologi VAR digunakan kali pertama di Malaysia pada perlawanan akhir Piala AFC antara KL City FC dan kelab Oman, Al-Seeb, di Stadium Nasional Bukit Jalil, 22 Oktober lalu.
Sivasundram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM turut menjelaskan 11 layangan kad kuning pada perlawanan diantara Sabah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), bukan satu masalah.
“Bagi saya biasa sahaja dan tidak lihat perkara itu sebagai satu masalah pun. Malah kami tidak dapat apa-apa aduan (mengenai mutu pengadilan) dari kedua-dua pasukan.
“Sebab setiap kali habis perlawanan kami akan dapat laporan daripada pihak penilai pengadil. Kalau mereka ada lapor sesuatu sudah tentu kita akan ambil tindakan,” tegasnya.