PASUKAN Selangor FC bangkit dari lena yang panjang apabila melangkah ke pentas final Piala Malaysia 2022 selepas mengenepikan cabaran pasukan pilihan, Terengganu FC di peringkat separuh akhir dengan agregat 3-2.

Kali terakhir Gergasi Merah layak ke final adalah pada 2016 namun tewas di tangan Kedah menerusi penentuan penalti dan kini mengintai peluang untuk kejuaraan ke-34 dalam sejarah dan kali pertama sejak pasukan ini diswastakan.

Jurulatih skuad Sukma Pulau Pinang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli melihat aksi final antara Selangor dan Johor Darul Ta’zim pada Sabtu sebagai aksi yang seimbang namun memilih Selangor untuk muncul sebagai pemenang.

Akmal Rizal Ahmad Rakhli

Akmal ketika dihubungi FLASH SUKAN berkata pemilihannya adalah berdasarkan faktor taktikal yang baik yang ada pada Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe yang sememangnya terkenal dengan permainan bola sepak moden yang menarik.

Selain itu dia juga melihat barisan pertahanan dan tengah Selangor mampu mengimbangi kekuatan dan kemampuan JDT yang sudah sudah diketuai selain berada dalam momentum yang baik ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tewas aksi Separuh Akhir Kedua, Selangor FC ke final Piala Malaysia 2022

“Bagi saya ianya adalah permainan 50-50 kerana semua tahu akan kekuatan dan kemampuan yang ada pada skuad Harimau Selatan namun sejak diambil alih oleh Tan Cheng Hoe, banyak perubahan positif dapat dilihat dalam pasukan Selangor.

Tan Cheng Hoe

“Mereka juga berada dalam momentum dan keadaan terbaik meskipun tewas pada perlawanan terakhir dan pada saya, barisan tengah dan pertahanan Gergasi Merah mampu untuk mengimbangi kekuatan yang ada pada JDT.

“Perlawanan dijangka seimbang tetapi saya lebih memilih Selangor untuk muncul juara atas faktor taktikal yg baik dari Tan Cheng Hoe yang mampu memerangkap dan mengecewakan JDT,” katanya.

Pada aksi Liga Super lalu, Selangor tewas di Iskandar Puteri dengan keputusan 5-1 sebelum mengikat JDT di Petaling Jaya 1-1 dan kini pastinya mahu mencapai kemenangan dalam pertemuan ketiga kedua-dua pasukan musim ini.