PENGENDALI interim Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menjangkakan satu aksi menarik bakal disajikan dua finalis Piala Malaysia 2023, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC apabila kedua-dua pasukan berentap di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.
Bekas pemain kebangsaan itu juga melihat JDT mempunyai kelebihan di atas kertas untuk mempertahankan kejuaraan namun dia tidak menolak sebarang kejutan yang dihadirkan Terengganu yang turut dibarisi pemain ternama dan berkualiti.
“Kalau atas kertas rasanya peluang di final ini adalah lebih kepada JDT dengan barisan pemain-pemain import terbaik dan pemain tempatan yang lebih berpengalaman dalam perlawanan-perlawanan besar sebelum ini.
“Tetapi di final macam-macam cerita boleh berlaku kerana Terengganu tidak akan bagi laluan yang mudah serta mereka juga ada pemain-pemain yang baik dan perlu diberi perhatian oleh JDT antaranya Ivan Mamut, Sony Norde dan Habib Haron yang akan mengawal bahagian tengah,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Akmal juga berharap agar keadaan padang berada dalam keadaan yang memuaskan bagi memastikan final kali ini akan menjadi antara final terbaik buat para penyokong kedua-dua pasukan serta semua penyokong bola sepak tempatan.
“Pasti final kali ini akan menjadi final yang menarik tetapi saya harap keadaan padang akan eloklah untuk aksi final ini. Kita pun tidak tahu macam mana keadaan sekarang ini dan ada sehari lagi untuk siapkan semuanya agar perlawanan yang lancar dan menarik untuk kita saksikan,” jelasnya.
Akmal dan barisan kejurulatihan Penang FC juga akan mengkaji corak permainan JDT pada final ini sebagai persiapan menjelang aksi terakhir Penang FC dalam Liga Super musim ini bertemu Harimau Selatan di Iskandar Puteri pada 16 Disember 2023.