KEDUA-dua kapten Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim optimis pasukan masing-masing mampu memenangi aksi final Piala Malaysia sekaligus menjulang piala berprestij kejohanan tertua Asia Tenggara.

Kapten Terengganu FC, Habib Haroon percaya skuad Penyu mampu mencipta kejutan dan berpeluang untuk menyaingi skuad Harimau Selatan sekaligus memadam kemarau 22 tahun Piala Malaysia buat Terengganu.

“Sudah tentu ada tekanan kerana kami akan menentang pasukan terbaik di negara ini. Jadi ini bukanlah satu perlawanan yang mudah tetapi semua pemain teruja menantikan aksi final ini.

“Dalam final segalanya adalah 50-50 dan apa sahaja boleh berlaku. Semua pasukan mahukan kemenangan dan begitu juga kami yang turun dengan misi untuk menang,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu dalam sidang media yang sama, kapten JDT, Jordi Amat menyifatkan Harimau Selatan perlu mempamerkan permainan sempurna untuk mengatasi wakil Pantai Timur itu dalam final di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat.

Pemain warisan Indonesia-Sepanyol itu turut menjelaskan bahawa tidak ada pasukan pilihan di pentas final dengan kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk meraih gelaran juara dan JDT perlu berwaspada dengan serangan balas pantas Terengganu.

“Semua pemain Terengganu harus diberi tumpuan. Seperti anda tahu bahawa kami tidak sekadar bertahan, kami perlu mengawal permainan, membentuk gerakan dari bawah seperti apa yang jurulatih mahukan.

“Mungkin kami perlukan permainan yang sempurna dan paling penting kami lebih waspada dengan serangan balas Terengganu kerana mereka ada pemain pantas,” jelasnya.

Untuk rekod, kali terakhir Terengganu menjulang Piala Malaysia adalah pada edisi 2001 yang menyaksikan mereka menewaskan Perak 2-1 dan kali ini, skuad Penyu mengesahkan tiket ke final selepas menyingkirkan juara edisi 2021, KL City FC 4-2 secara agregat.

Johor Darul Ta’zim pula layak ke final selepas mengenepikan cabaran Perak FC 12-2 menerusi aggregat dan kini dalam misi mempertahankan kejuaraan serta mencipta sejarah memenangi ‘double quadruple’ sejak 2022.