“JIKA Tomi (Tomislav Steinbruckner) dapat mengkaji kelemahan lawan, mereka boleh mencipta ‘upset‘, itu ramalan jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim menjelang final Piala Malaysia, Jumaat ini.
Menurut bekas pengendali Terengganu FC (TFC) itu, Steinbruckner perlu merencana strategi terbaik bagi memastikan setiap gerakan Johor Darul Ta’zim (JDT) dapat dipatahkan.
Irfan Bakti berkata, meskipun JDT memiliki barisan pemain serba lengkap di semua posisi, Sang Penyu berupaya melakar kejutan sekiranya tidak membiarkan permainan dikuasai lawan.
“TFC harus mengelak daripada berlaku ‘one sided match‘ dan untuk itu, jentera tengah mereka perlu memainkan peranan dalam membantu benteng pertahanan dan serangan.
“Jika Habib (Haroon) dan Nurillo (Tukhtasinov) boleh mengimbangi rentak di bahagian tengah dan membuat umpanan kepada (Ivan) Mamut, TFC mampu meraih sesuatu dari perlawanan ini.
“Dalam bola sepak, pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan dengan aksi berlangsung di gelanggang berkecuali, kedua-dua pasukan ada peluang sama rata,” ujarnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Bekas jurulatih Selangor dan Kuching City itu turut menjelaskan, ketajaman penyudah jentera serangan TFC akan menjadi penentu nasib pasukan itu berdepan skuad Harimau Selatan.
Katanya, Mamut yang merupakan penjaring terbanyak Sang Penyu perlu berada pada prestasi terbaik bagi mengelak dibayangi ayam tambatan JDT, Bergson Da Silva untuk 90 minit.
“JDT cukup lengkap di semua posisi namun bagi TFC, mereka ada barisan pertahanan yang ampuh meskipun mungkin dibarisi pemain tempatan dan mereka perlu fokus,” katanya.