MISI mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia kini menjadi tumpuan utama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas berjaya menamatkan saingan Liga Super sebagai juara sepuluh kali berturut-turut dan mengekalkan rekod tanpa kalah di laman lawan sejak 2018.

Pengendali JDT, Esteban Solari mengakui perlawanan akhir menentang Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat ini adalah satu lagi aksi yang sukar kerana sedar kekuatan lawan dan bagaimana lawan bertindak apabila bertemu pasukan Harimau Selatan.

“Perlawanan akhir ini sangat penting dan ianya memberikan makna yang besar buat kami dan yakin ianya akan menjadi satu perlawanan yang cukup sukar kerana kebiasaannya perlawanan akhir adalah satu aksi yang sukar.

“Namun kami tetap akan berikan saingan dan akan mendapatkan gelaran juara kerana itu adalah tuntutan di kelab yang hebat ini dan kami juga dalam keadaan yang baik kerana tidak ada pemain yang mengalami kecederaan,” katanya.

Solari juga tidak bimbang dengan motivasi para pemainnya yang berjaya bangkit dari kekalahan di tangan Kawasaki Frontale dengan menewaskan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super dan berharap mereka akan meneruskan momentum kemenangan dalam aksi final pada Jumaat.

“Kami mempunyai mentaliti sang juara yang sentiasa menjadi tuntutan untuk setiap orang di kelab ini. Boss kami Tunku Mahkota Johor mempunyai mentaliti sebegini dan kami cuba untuk mengikut mentaliti seperti itu juga.

“Apabila tewas kepada pasukan yang lebih baik seperti Kawasaki Frontale, kami perlu ambil kesempatan untuk melihat lebih banyak perkara yang kadang kala apabila kami menang, kami tidak perasan tentang apa yang perlu diperbaiki.

“Para pemain menunjukkan karektor yang baik apabila bangkit dari kekalahan serta kini semua fokus terarah kepada aksi final dan karektor juara ini membanggakan saya sebagai jurulatih,” jelasnya.

JDT layak ke final Piala Malaysia buat kali keenam sejak ditubuhkan pada 2013 dengan cuba memenangi trofi ini dua kali berturut-turut buat kali pertama selepas menjuarai piala berprestij ini pada 2017, 2019 dan 2022 selain bergelar naib juara pada 2014 dan 2021.