TIGA hari menjelang final Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta’zim dan Terengganu FC dan bahangnya semakin terasa dengan tiket yang dikhabarkan telah habis dijual dan segala aturan perjalanan telah diusahakan oleh penyokong kedua-dua pasukan.
JDT dan Terengganu bertemu sekali lagi di final selepas final Piala FA 2022 yang menyaksikan Harimau Selatan menjulang piala selepas mengenepikan cabaran Sang Penyu 3-1 dan kini mereka kembali ke Bukit Jalil merebut trofi tertua Asia Tenggara.
Namun begitu, tatkala pasukan sibuk melakukan percaturan dan persiapan terbaik untuk memberi hadiah kepada penyokong, peminat bola sepak tempatan dikejutkan sekali lagi dengan berita padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang masih dalam keadaan tidak siap.
🏆 PERLAWANAN AKHIR PIALA MALAYSIA 2023 🏆
🟥🟦 Johor Darul Ta’zim 🆚 Terengganu FC ⬛⬜
Stadium Nasional Bukit Jalil | Jumaat, 8 Disember 2023 | 9 malam#PialaMalaysia2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/bx5VpOix9G
— Malaysian Football League (@MFL_MY) December 4, 2023
Sepatutnya perbualan di kedai kopi menjurus kepada persiapan pasukan, pemain yang perlu diberikan perhatian, dapatkah Terengganu menghalang JDT mencipta rekod ‘double quadruple‘, tetapi yang hangat dibincangkan adalah mengenai padang.
Isu padang di Stadium Nasional ini bukanlah isu baharu malah saban tahun menjadi masalah apabila adanya perlawanan bola sepak sama ada melibatkan Harimau Malaya mahupun aksi final dan ianya masih berulang umpama tidak ada noktahnya.
Umum memahami stadium terbesar negara itu adalah ‘multipurpose‘ stadium tetapi apa yang umum tidak faham adalah kenapa padang di Bukit Jalil tidak dapat diselenggara dengan baik seperti stadium lain di luar negara.
Jika melihat keadaan padang yang dikongsi pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ianya kelihatan seolah-olah mustahil untuk sebarang perlawanan bola sepak berlangsung di situ kerana ianya dalam keadaan yang tidak sempurna.
Rata-rata penyokong kedua-dua pasukan menzahirkan rasa tidak puas hati dan tertanya-tanya adakah perlawanan akhir itu boleh dilangsungkan selepas melihat keadaan padang yang diluar jangkaan.
Sampai bila isu padang ini perlu dijadikan bahan cerita di kedai kopi atau di mana sahaja. Di manakah integriti pihak berwajib yang dipertanggungjawabkan untuk menjadi padang yang dikurniakan secara percuma itu.
Perbincangan lebih ilimiah tentang bola sepak seharusnya menjadi topik perbualan kerana di pihak penyokong, mereka mahukan satu aksi final yang menarik di fasiliti berkelas dunia dan rasa berbaloi dengan perbelanjaan yang dikeluarkan.
Kita tunggu dan lihat apa yang akan terjadi tetapi buat kedua-dua penyokong dan pasukan, teruskan sokongan dan perjuangan anda demi kelab yang anda cintai dan demi bola sepak tanah air yang semakin bersinar.