ISU padang Stadium Nasional Bukit Jalil mendapat perhatian pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang gusar dengan nasib pemain yang bakal beraksi pada final Piala Malaysia pada Jumaat.

Pihak yang bertanggungjawab tentang pengurusan padang, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akhirnya mengeluarkan kenyataan mengakui keadaan padang tidak memuaskan dan meminta maaf kepada semua yang terlibat dalam final kerana tidak sempat untuk menyediakan padang yang lebih baik.

Menerusi hantaran di ruangan komen sebuah portal bola sepak, Tunku Ismail mengakui keadaan padang yang dikurniakannya itu berada pada tahap tidak baik dan akan mendatangkan risiko kecederaan kepada pemain terutama pemain kebangsaan yang akan mewakili negara ke Piala Asia bulan hadapan.

 

“Main boleh main. Tetapi quality game akan low. Yang membimbangkan adalah key players/pemain kebangsaan macam Corbin, Arif Aiman, Matt Davies, Endrick, Shahrul Saad dan Afiq Fazail injured. Ankle, thigh, lutut dan groin oleh kerana padang tidak rata. Bulan depan Asia Cup di Qatar,” tulisnya.

Keresahan Tunku Ismail turut dikongsi ramai penyokong bola sepak tempatan yang turut kecewa dengan tindakan PSM kerana tidak berjaya menjaga padang dengan baik dan seolah-olah tidak peduli dengan kebajikan pemain dan penyokong.

JDT dan Terengganu bakal berentap dalam final Piala Malaysia dengan Harimau Selatan mahu mempertahankan kejuaraan dan mencatat kejuaraan double quadruple manakala Terengganu cuba memadam kemarau 22 tahun tanpa kejuaraan Piala Malaysia.