PERTEMUAN epik antara Johor Darul Takzim (JDT) menentang Selangor FC di final Piala Malaysia akan diadili pengadil Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu perlawanan itu lancar tanpa sebarang isu pengadilan.
Justeru bagi memastikan tiada isu berbangkit berkaitan pengadilan, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, pihaknya akan melantik pengadil tempatan bertaraf FIFA mengadili perlawanan tersebut.
“Kita sidah senaraikan pengadil terbaik dan pengadil itu akan bertaraf FIFA. Jadi saya rasa final akan berjalan lancar,” katanya.
Noor Azman berkata demikian kepada media ketika ditemui pada majlis kerjasama penajaan antara FAM dan Puma di Shah Alam.
FAM memiliki enam pengadil FIFA iaitu Razlan Joffri Ali, Amirul Izwan Yaacob, Mohd Nazmi Nasaruddin dan Suhaizi Sukri.
Dua lagi pengadil adalah Tuan Mohd Yaasub Tuan Mohd Hanafiah dan Usaid Jamal.
Terdahulu, FAM menjalin kerjasama penajaan dengan PUMA, menyaksikan PUMA akan menaja bola untuk digunakan pada pertandingan di bawah kelolaaan badan induk itu.
Menggunakan bola PUMA Orbita FAM 2, bola itu akan digunakan bagi pertandingan Piala Belia, Piala Presiden, Liga Wanita Nasional (LWN) serta Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) musim 2023.