SKUAD Piala Presiden Sri Pahang dilihat mempunyai kelebihan dalam aksi final Ahad ini selepas berjaya membawa dua gol dari tempat lawan selepas seri 2-2 pada aksi final pertama Ahad lalu.

Namun skuad kendalian Mohd Yazeed Hamzah itu pastinya tidak boleh menggunakan kelebihan itu sebagai sebab untuk mereka tidak beraksi cemerlang kerana lawan mereka, Johor Darul Ta’zim III bukan lawan yang boleh dipandang enteng.

Ini kerana semangat melawan hingga ke akhir perlawanan jelas menjadi nadi JDT III yang berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit akhir untuk mengikat kedudukan sekaligus menjadikan final kedua ini lebih menarik.

Anak-anak buah Javier Jorda itu sememangnya berada pada prestasi terbaik sepanjang kempen Piala Presiden tahun ini dengan berjaya mencatat lapan kemenangan, empat seri dan hanya tewas sekali.

Perlawanan akhir ini juga bakal menjadi medan ujian buat kedua-dua penyerang berbisa untuk memberikan kejuaraan kepada pasukan masing-masing selepas berjaya meletakkan diri sebagai penjaring pada final pertama di Pasir Gudang.

Penyerang Sri Pahang, Hasnul Zaim Zafri, 20 kini dengan empat gol manalala penggempur JDT III, Syukur Fariz Januri, 19 kini berjaya meledak enam gol sepanjang musim ini.

Kehadiran beberapa pemain kebangsaan B-19 seperti Najmuddin Akmal dalam skuad JDT III pasti akan membawa pengalaman berharga serta dapat membantu rakan sepasukan dalam mengharungi aksi final ini.

Kelebihan beraksi di laman sendiri pastinya akan digunakan sepenuhnya oleh Sri Pahang yang bakal menerima sokongan padu para penyokong yang mahukan kemenangan menjadi milik skuad muda Tok Gajah.

Ini ada final pertama buat Sri Pahang sejak format baharu Piala Presiden diperkenalkan. Sebelum ini mereka bergelar naib juara pada edisi 2014 selepas tewas 3-2 kepada Perak dan ini juga adalah aksi final pertama buat JDT III sejak Akademi JDT ditubuhkan pada 2015.