“Di padang, pasti akan ada pemain melakukan kesilapan tapi saya ‘visualize’ semula apakah kesilapan saya dan menekankan untuk tidak mengulanginya,” kata penjaga gol skuad hoki kebangsaan Muhammad Hafizuddin Othman.

Hafizuddin yang cemerlang dalam dua perlawanan terakhir mengakui, Korea Selatan bukan lawan yang mudah untuk dijinakkan, dan hakikat itu menyemarakkan lagi semangatnya untuk menjadi benteng pertahan terakhir yang terbaik.

Menurutnya, selepas tewas 0-3 kepada Korea Selatan pada perlawanan pertama, dia sedar peranannya sebagai penjaga gol amat penting.

“Ada beberapa perkara perlu diperbaiki terutamanya saya sebagai penjaga gol. Paling penting saya rasa tugas saya ketika mempertahankan gol ketika lawan memperoleh pukulan sudut penalti,” katanya yang memiliki 74 kaps antarabangsa.

Latihan berterusan dan elak dari mengulangi kesilapan sama menjadi kunci mempertahankan gawang negara. – Hafizuddin

Menurutnya, keputusan di Piala Sultan Azlan Shah amat penting buatnya dan rakan-rakan kerana boleh menjadi pengukur kedudukan Malaysia menjelang saingan Piala Dunia di Bhubaneswar, India, awal tahun hadapan.

“Harapan saya dan pasukan, esok kami mesti menjuarai edisi kali ini kerana apabila muncul juara, motivasi kami sebagai pemain akan meningkat dan ini penting menjelang aksi Piala Dunia,” kata Hafizuddin lagi.

Speedy Tigers mesti menjuarai Piala Sultan Azlan Shah, bagi meningkatkan keyakinan pemain sebelum ke Piala Dunia.

Begitupun, Hafizuddin sedar untuk muncul juara, dia sendiri perlu menidakkan jaringan pemain Korea Selatan terutamanya pakar pukulan sudut penalti berpengalaman, Jang Jonghyun.

Berdasarkan statistik, Korea Selatan menjadi pasukan paling banyak menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti iaitu tujuh gol dalam kejohanan ini, namun Speedy Tigers juga mempunyai kelebihan kerana menjaringkan gol terbanyak kejohanan dengan 16 jaringan.

ARTIKEL BERKAITAN : Final Piala Sultan Azlan Shah: Speedy Tiger sedia 100 peratus ‘langgar’ Korea Selatan

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah menjuarai Piala Sultan Azlan Shah sejak penganjurannya 1983.