KETUA Jurulatih Kuala Lumpur City FC menganggap perlawanan akhir Zon Asean Piala AFC esok akan menjadi pertarungan taktikal antara kedua-dua pasukan kerana segalanya adalah mengenai kemenangan.
Bojan yang mengenali hampir 90 peratus pemain PSM Makassar menjangkakan tidak banyak kejutan akan berlaku dan perlawanan kali ini pasti berbeza berbanding perlawanan peringkat kumpulan kerana KL City FC pada ketika ini sudah mempunyai dua pemain penyerang.
Pemenang Piala Malaysia 2021 ini juga sudah mengenalpasti kekuatan lawan dan mahukan aksi terbaik daripada para pemainnya dan mahukan barisan pertahanan terus menunjukkan aksi konsisten untuk mengekalkan rekod tidak dibolosi dalam dua perlawanan.
“Saya sudah mengenali jurulatih PSM Makassar kali ini dan juga 90 peratus dari pemain mereka jadi tidak ada sebarang kejutan yang mampu dilakukan. Pastinya satu pertarungan taktikal yang mungkin sedikit membosankan penyokong tetapi pada akhirnya kami mahukan kemenangan.
“Pada perlawanan lepas kita terkena tiang sebanyak dua kali dengan Romel Morales mengalami kecederaan dan kami tidak mempunyai Jordan Mintah. Saya kini mengalami masalah untuk menentukan sama ada Kevin Mendoza bakal diturunkan menjaga gawang atau bermain dengan dua penyerang import di bahagian serangan.
“PSM Makassar sedang dalam prestasi yang baik selepas lima perlawanan Liga 1 Indonesia begitu juga dengan kami dan saya jangkakan ianya akan menjadi perlawanan yang menarik kali ini.
“Hanya tiga pemain tidak dapat diturunkan dengan J.Partiban kini kembali menjalani latihan namun belum boleh bermain 90 minit. Namun perlawanan esok mungkin berlanjutan hingga 120 minit jadi kami perlu mempunyai pemain yang ramai,” katanya pada sidang media pra perlawanan.
Ditanya siapakah pemain PSM Makassar yang boleh menjadi duri dalam daging buat KL City, Bojan dengan tenang menamakan lima hingga enam pemain yang dijangka mampu memberikan bahaya kepada pasukannya sekiranya mereka diberikan ruang.
“Wiljan Pluim dan Everton Nascimento sangat berbahaya dan mereka bergandingan baik. Selain itu mereka juga mempunyai pemain ‘flank‘ yang bagus dari Kembar Sayuri serta Rizki Eka Pratama dan import dari Jepun dibahagian tengah perlu disekat kerana boleh mendatangkan bahaya kepada kami,” tambah Hodak.
Kuala Lumpur City FC akan berhadapan PSM Makassar pada aksi final Zon Asean Piala AFC dengan pemenang kini akan terus ke final antara zon selepas penyertaan ATK Mohun Bagan dibatalkan ekoran penggantungan Persatuan Bola Sepak India (AIFF) oleh FIFA.