JURULATIH baharu meningkat naik, Firdaus Tan Abdul Aziz sentiasa berusaha untuk memperbaiki dirinya dan tidak segan belajar daripada orang yang pernah berada di peringkat tertinggi.
Dia yang sedang mengikuti kursus Kejurulatihan Kecergasan Tahap 1B Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 teruja menerima pembelajaran minggu yang menakjubkan daripada Mark Jones yang merupakan Pengajar Kecergasan & Pengkondisian AFC Elite dan Pengajar Kecergasan FIFA.
“Beliau mempunyai latar belakang yang mengagumkan dengan Lesen FFA Pro dan pengalaman bimbingan yang luas.
“Belajar daripada seseorang yang mempunyai pengalaman yang pelbagai adalah sangat berharga kerana mereka mempunyai banyak pengetahuan dan pandangan untuk dipelajari,” katanya antara jurulatih profesional yang mendapat peluang dihantar ke Croatia oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menimba ilmu dan kemahiran kejurulatihan pada Mac tahun lepas.
Firdaus sebelum ini pernah menjadi sebutan apabila namanya pernah dicalonkan sebagai salah seorang pembantu jurulatih skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon sebelum E. Elavarasan dipilih.
Dia mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam dunia kejurulatihan dan merupakan orang yang bertanggungjawab dalam membimbing skuad muda Selangor yang beraksi cemerlang dalam saingan Piala Belia sehingga muncul juara tahun lepas.