KAPTEN pasukan Terengganu Hockey Team (THT), Fitri Saari masih mengimpikan peluang kembali menyarung jersi skuad kebangsaan dan akan menggunakan platform Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 untuk memberikan aksi terbaik sekaligus menarik minat pengendali negara.

Fitri yang mengetuai rakan-rakan sepasukannya muncul juara Piala Sumbangsih MHL 2022 gembira dengan aksi yang ditunjukkan THT dalam aksi dramatik sebelum menang 4-3 menentang pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Dia juga turut menyatakan THT mensasarkan sekurang-kurangnya dua piala daripada keseluruhan tiga piala yang dipertandingkan musim ini dan gembira dengan kemenangan dan berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih.

“Ketika permainan dihentikan dengan berbaki 14 minit kerana hujan, saya memberitahu rakan sepasukan supaya terus fokus dan akhirnya berjaya menjaringkan gol pada minit terakhir untuk menang dalam perlawanan ini.

“Kita sasar dua piala dan kalau dapat tiga piala adalah bonus buat pasukan dan Kerajaan Negeri Terengganu yang banyak beri dana. Namun kami perlu fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Kalau dipanggil pasti saya mahu kembali ke skuad kebangsaan. Kalau ada nama saya ada perasaan untuk buat ‘come back’ tetapi jika tidak ada nama saya terima sahaja dan saya akan gunakan kejohanan ini untuk menaikkan semula nama saya”, katanya kepada media selepas perlawanan.

THT menumpaskan TNB 4-3 menerusi dua jaringan daripada pemain antarabangsa Korea, Jang Jonghyun, Shello Silverius dan Fitri sendiri manakala gol TNB dijaringkan Azrai Aizad, Syed Syafiq Syed Cholan dan Amirul Amizan.