BAGAI sirih pulang ke gagang… Mohd Fitri Saari akhirnya kembali dipanggil menyertai kem latihan skuad hoki kebangsaan selepas hampir tiga tahun diketepikan.

Pemain tengah berusia 30 tahun itu menjadi antara muka baharu dipanggil ketua jurulatih Speedy Tigers, A Arul Selvaraj untuk menyertai latihan pertama skuad kebangsaan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Kapten Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu, tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya apabila dapat kembali diletakkan dalam perancangan pasukan kebangsaan selepas namanya tidask dipanggil hampir tiga tahun sejak awal tahun 2020.

“Hampir tiga tahun tidak bersama pasukan kebangsaan dan apabila dipanggil jurulatih panggil turun latihan, saya sangat gembira. Apa-apa pun saya nak jaga prestasi dan persembahan untuk berikan yang terbaik dalam setiap latihan.

“Saya tak akan sia-siakan peluang kedua ini. Saya tak sabar dan teruja untuk berlatih semula sebab saya tak nak terlepas kejohanan atau jelajah bersama pasukan kebangsaan,” katanya.

Kecemerlangan prestasi Fitri membantu THT merangkul gelaran treble dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim ini, antara faktor utama dia dipanggil semula selepas berjaya memikat hati barisan kejurulatihan negara.

Mengakui peluang bersama skuad kebangsaan satu penghormatan besar buatnya, Fitri memberitahu sasaran utamanya adalah pingat emas Sukan Asia di Hangzhou, China, September depan bagi membolehkan Speedy Tigers meraih slot automatik ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Aksi Mohd Fitri Saari bersama skuad kebangsaan, ketika menentang New Zealand di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, pada 2018. Pix kredit The Star. 

“Impian saya nak ke Olimpik belum berakhir. Sekarang sasaran saya adalah pingat emas Sukan Asia kerana kalau melalui pusingan kelayakan, agak susah untuk ke Olimpik,” ujar Fitri.

Begitupun dia tidak menafikan, persaingan untuk kekal dalam pasukan bukan mudah kerana terpaksa bersaing dengan pemain muda berbakat, apa lagi Arul Selvaraj suka menggunakan tenaga muda yang mempunyai tahap kecergasan dan kelajuan tinggi dan rajin di atas padang.

“Dari segi persaingan… memang susah untuk saya tetapi ia baik untuk pasukan kerana perebutan tempat dalam skuad kebangsaan akan menjadi suatu yang sihat.

“Mungkin jurulatih melihat prestasi saya dalam liga baru-baru ini dan berasakan saya masih relevan untuk pasukan kebangsaan.

“Apapun, saya akan pastikan tempat saya selamat menerusi usaha gigih dalam latihan kerana saya mahu kekal berada dalam pasukan.”

Bersama Speedy Tigers, Fitri pernah meraih pingat perak Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, pingat perak Piala Asia 2017 di Dhaka selain gangsa Trofi Juara-Juara Asia 2011, 2012 dan 2016.

Selain itu, Fitri juga menjadi sebahagian pasukan ke Piala Dunia 2014 dan 2018.