TERLEPAS peluang mewakili negara buat kali pertama di ASEAN Para Games (APG) 2020 di Filipina, pelari pecut Johor Ahmad Fizzi Rosni terus menaruh harapan untuk terpilih mewakili negara di masa hadapan.

Atlet yang beraksi di Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dalam kategori T35/36 (palsi serebrum) 100 meter(m) 200m, 400m itu mahu mengikut jejak Mohd Ridzuan Puzi atau lebih dikenali sebagai Dik Wan.

Pada acara 200m T35/36 sebentar tadi, Fizzi, 22, meraih pingat emas dengan catatan 26.27 saat (s) mengatasi atlet Kedah, Mohamad Sobri Ghazali(28.02s) untuk pingat perak dan atlet Sabah, Nelson Sevilin (29.46s) untuk pingat gangsa.

Kemenangan itu membolehkan Fizzi menyumbang tiga pingat emas buat Johor selepas turut memenangi acara 400m dan 100m sebelum ini.

“Tiada pemegang rekod Para Sukma rasmi ketiga-tiga acara yang saya menangi, jadi sayalah pemegang rekod Sukma dalam kategori T35/36.

“Saya berharap sangat selepas ini terpilih mewakili negara, kerana saya menjalani latihan di Johor bukan di sini. Saya terpaksa berada di Johor kerana membantu ibu dan ayah berniaga di kedai makan,” kata Fizzi.

Menurut Fizzi, dia tersenarai untuk mewakili negara pada APG Filipina 2020, namun temasya itu dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

Pada acara 100m, Fizzi memenagi pingat emas dengan catatan 13.15s, manakala dalam acara 400m, 60.46s.

Menjadikan Dik Wan sebagai idola, dia mengakui turut menyimpan impian untuk beraksi dan memenangi pingat di temasya Paralimpik, dan akan cuba mendapatkan slot di Paris nanti.