SEJAK kebelakangan ini boleh dikatakan hampir setiap hari kita selalu terdengar baik di media arus perdana atau sosial melaporkan kemalangan maut membabitkan jalan raya.

Dua hari lalu, lima beranak maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Kuantan-Segamat selepas dikejutkan dengan pemergian seorang guru agama bersama dua anak lelakinya dikhuatiri lemas selepas kereta dinaiki itu telah dilaporkan terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Ketil dalam kejadian di Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil.

Remuk hati Flash Sukan sebaik mendengar perkhabaran dukacita ini di mana statistik kemalangan di jalan raya dilihat semakin meningkat.

Malah berita sedih melibatkan kemalangan ini turut berlaku kepada atlet skuasy wanita utama negara, S.Sivasangari tiga hari lalu membabitkan sebuah lori dan kereta di Lebuhraya Maju Expressway.

Secara peribadi, Flash Sukan percaya bahawa sudah tiba masanya kesedaran sivik berkaitan pemanduan pengguna di jalan raya harus dipertingkatkan.

Bukanlah kuasa kita untuk menidak ketentuan ilahi di mana ajal maut hanya terletak di Allah SWT tetapi Flash Sukan menganggap sesetengah kemalangan dapat dielakkan sekiranya kita mengamalkan sikap pemanduan lebih berhemat dan fokus.

Foto: Sinar Harian

Mungkin sudah tiba masanya Jabatan Kerja Raya (JKR) berkerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masing-masing mempertingkatkan sistem keselamatan di lokasi yang membabitkan risiko tinggi kemalangan.

Namun kita sebagai pengguna juga harus patuh kepada peraturan jalan raya kerana sistem itu akan gagal berfungsi sekiranya ia tidak diikuti seperti yang disarankan.

Ini kerana Flash Sukan percaya dengan kesedaran pengguna serta kerjasama daripada pihak berkuasa sekurang-kurangnya dapat mengurangkan risiko kemalangan di mana dalam memastikan objektif ini tercapai kedua-dua harus memainkan peranan penting.

Akhir kata daripada Flash Sukan, setiap pemanduan terdapat sebuah keluarga menanti kepulangan kalian. Jadi, sentiasa amalkan pemanduan berhemah dan sentiasa menjaga emosi ketika sedang berada di atas jalan raya.

Kata orang, biar lambat asal selamat.