FLASH SUKAN sebagai portal berita sukan tanah air, dengan sukacitanya mengumumkan kerjasama bersama Astro sebagai Rakan Media Rasmi bagi Liga Sepak Takraw (2024) untuk edisi Ke-10.
Menyusuri satu dekad penuh gemilang STL, saingan musim ini menyaksikan konsep dan format baharu bakal diperkenalkan iaitu Grand Prix (GP) yang akan membuka tirai perlawanan pada 26 Ogos sehingga 17 November 2024.
Format GP ini akan memberi peluang kepada pasukan untuk menjadi Juara GP setiap minggu mengikut setiap venue lokasi STL yang akan diadakan sementara juara keseluruhan pula akan diumumkan mengikut jumlah mata yang tertinggi.
STL musim ini akan dimulakan dengan STL Divisyen 1 dan akan terus menjelajah ke beberapa buah negeri terpilih termasuk di beberapa venue baharu pertarungan.
STL Divisyen 1 akan diadakan di Dewan Bukit Serindit, Melaka, diikuti dengan STL Premier bermula di Stadium Malawati, Selangor untuk GP pertama. GP kedua pula di Stadium Tertutup Gong Badak,
Terengganu seterusnya GP ketiga di Stadium Indera Mulia, Perak, GP keempat di Spice Arena, Pulau Pinang dan GP kelima di Arena Larkin, Johor.
Sementara itu, persaingan antarabangsa STL Champions Cup pula akan diadakan di Stadium MBSJ, Serdang, Selangor.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berucap pada majlis, “Seiring dengan perkembangan STL yang memasuki musim ke-10 tahun ini, pelbagai kejayaan yang ditempa dan kenangan yang telah dilakar. STL telah menjadi platfom mencungkil bakat sehingga melahirkan ramai pemain-pemain berkualiti sehingga menjadi jagoan sukan sepak takraw bertaraf dunia.
“Selain menjadi medan terbaik untuk pendedahan pemain sebelum beraksi diperingkat kebangsaan, STL juga telah menjadi lakaran detik kebangkitan dalam sukan ini. Revolusi STL sepanjang satu dekad ini telah menyaksikan peningkatan prestasi skuad negara dan paling membanggakan apabila mereka telah meraih kejayaan besar dan bersejarah menewaskan Thailand dalam kategori regu dan bergu pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2024 yang lalu,” ujar Hannah.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, “Perjalanan sepuluh tahun Astro dalam melestarikan sukan ini dan jenama STL amat mengagumkan dimana STL bukan hanya memasuki era profesionalisme yang lebih baik, malah telah mengangkat sukan ini hingga ke peringkat global dengan menjalin kerjasama bersama dengan beberapa syarikat penyiaran antarabangsa sebelum ini.”
“STL telah melonjakkan kembali zaman kegemilangan sukan sepak takraw yang dulu dilihat semakin suram dan tenggelam, STL juga berjaya mencatat jumlah peningkatan tontonan yang tinggi saban musim dimana pada tahun lalu STL berjaya mencatat 7 juta tontonan, sementara Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw pula dengan 3.6 juta tontonan di Astro Arena.
“Jumlah tontonan yang tinggi serta kejayaan skuad negara telah membuktikan Malaysia berada dalam posisi yang kukuh untuk kita terus mempromosikan sukan tradisi ini ke persada dunia. Melalui STL kami akan terus berusaha menjadikan acara sukan ini gah dan premium untuk disiarkan ke seluruh dunia.
“Kami juga akan mempertingkatkan kandungan digital yang sering kali tular di media sosial sehingga ke peringkat media antarabangsa selain turut menawarkan pengalaman tontonan yang fleksibel untuk peminat menonton secara langsung melalui peranti pilihan dengan pelbagai kaedah langganan mengikut citarasa anda termasuk di aplikasi penstiman sooka secara percuma dan di Astro GO.” katanya.
Manakala Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata musim ini STL akan menjanjikan kehangatan yang luar biasa dengan penambahan dari 10 pasukan kepada 12 pasukan yang akan bersaing dalam STL Premier nanti.
“Buat pertama kali pada musim ini dua pasukan teratas di STL Divisyen 1 akan layak dan berpeluang bermain di STL Premier nanti berbanding tahun sebelum ini mereka perlu menunggu untuk bermain pada musim baru.
“Dengan Format baharu ini saya yakin setiap pasukan akan merebut tempat untuk dinobatkan sebagai juara GP mingguan dan seterusnya memburu mata untuk ditabalkan sebagai juara keseluruhan nanti,” katanya.
Rekod pada musim lalu menyaksikan Perak Bison muncul juara merampas kejuaraan daripada juara bertahan ATM Guardians, sementara kemenangan mengejutkan Negeri Sembilan Antlers sebagai juara baharu STL Champions Cup.
STL 2024 tahun ini merangkumi saingan STL Premier, STL Divisyen Satu dan STL Champions Cup (sebanyak 12 pasukan) akan berentap masing-masing dalam saingan STL Premier dan STL Divisyen 1, manakala STL Champions Cup pula bakal menghimpunkan empat pasukan teratas dari STL Premier dan 4 pasukan jemputan antarabangsa.