FLASH Sukan diberi kepercayaan sebagai rakan media strategik Kontinjen Malaysia pada Temasya Paralimpik yang akan berlangsung pada 28 Ogos hingga 8 September 2024 di Paris.

Menurut Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin kontinjen Malaysia memerlukan laporan inklusif sepanjang temasya bagi memastikan setiap detik atau moment atlet-atlet negara di Paris dapat di kongsikan kepada seluruh peminat sukan tanah air.

“Sukan Paralimpik acara berprestij dan sudah pasti kami mahukan yang terbaik buat kontinjen negara dan saya percaya kerjasama dengan Flash Sukan ini boleh membantu menyalurkan berita atau perkembangan yang lebih pantas kepada rakyat Malaysia.

Ketua Editor  Flash Sukan, Suryati Mohd Nor (tengah) bersama  CDM Malaysia ke Paris Datuk Subramaniam Raman Nair (kiri) dan Presiden MPM, Datuk Seri Megat D.Shariman Zaharudin.

“Sokongan media sangat diperlukan yang mampu membantu memacu motivasi semua atlet negara yang akan berada di Paris Ogos nanti,” jelasnya dalam satu majlis ringkas Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MPM dan Flash Sukan.

Turut hadir, Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Paralimpik Malaysia Datuk Subramaniam Raman Nair.

Kerjasama rakan media strategik ini akan meliputi perkembangan semua atlet Paralimpik negara sepanjang persiapan sebelum ke Paris dan seterusnya maklumat-maklumat terbaharu sepanjang temasya berlangsung.