FRASER & Neave Holdings Berhad (F&N) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) telah mengadakan program khas untuk menyampaikan sumbangan kepada bekas atlet kebangsaan bersempena sambutan Deepavali yang bakal tiba.

Program ini memberi penghormatan kepada atlet dan bekas atlet beragama Hindu untuk membuktikan sokongan dan pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka kepada negara.

Sebanyak enam penerima telah diraikan dalam majlis ini, termasuk tiga atlet semasa dan tiga bekas atlet negara.

David AL V.G Cherian menerima sumbangan Deepavali.

Atlet semasa yang menerima sumbangan adalah Geerijaieswaran Pillai Sivanesan (karate), Vikneswaran A/L R. Tiagarajan (Para Boccia), dan Palavendiran A/L Muniandy (bina badan). 

Sementara itu, bekas atlet yang menerima penghargaan adalah Balle A/P Munisamy (Para Wheelchair Racing), David A/L V.G Cherian (Para Ping Pong), dan Saravanan Govindasamy (olahraga), yang kini menetap di Pulau Pinang.

Saravanan Govindasamy, salah seorang penerima, berterima kasih atas usaha ini, menyatakan harapan bahawa program sebegini dapat mengurangkan beban perbelanjaan menjelang perayaan.

“Saya berterima kasih dan berharap kunjungan seperti ini dapat mengurangkan beban untuk menyambut perayaan masing masing,” kata Saravanan.

Belle AP Munusamy menerima sumbangan Deepavali. 

Ucapan penghargaan turut disampaikan oleh Balle A/P Munisamy, yang berterima kasih kepada MSN dan 100PLUS kerana telah membantu meringankan beban perjalanan untuk menyambut Deepavali bersama keluarga di kampung halaman.

“Terima kasih kepasa MSN dan 100PLUS kerana mengurangkan beban kami untuk pulang ke kampung halaman dan menyambut hari raya Deepavali bersama saudara mara.”

Pengurus Pengurusan Acara dan Penajaan F&N, Muhd Fauzi Ahmad, menyatakan komitmen berterusan syarikat dalam bekerjasama dengan MSN dan Yakeb untuk memberi sumbangan kepada para atlet yang telah berjasa.

“Program ini adalah lanjutan daripada yang telah kita lakukan, menyumbang kepada atlet dan bekas atlet bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina. Kita berharap program ini akan berterusan di masa akan datang,” kata Fauzi.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada F&N dan MSN atas inisiatif yang terus menyokong atlet, terutama mereka yang mengalami beban kewangan.