SABAH FC melakukan persiapan rapi menjelang perlawanan menentang Sri Pahang FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee mahu skuadnya mengutip tiga mata penuh untuk memperbaiki kedudukan dalam liga.

Skuad Badak yang kini ketinggalan empat mata dari Sri Pahang dan berada di kedudukan kelima Liga Super perlu memastikan tiga mata dapat dikutip di Stadium Likas untuk merapatkan jurang dengan pasukan di tangga kedua.

Kim Swee juga mahu semua pemainnya lebih fokus dalam perlawanan dan mengelak melakukan sebarang kesilapan yang boleh menghukum mereka dari mencatat tiga mata di hadapan penyokong sendiri.

“Kita mengakui kelebihan Sri Pahang FC, tetapi Sabah FC tetap akan memberikan saingan sengit pada perlawanan ini nanti. Kali ini kami tidak akan beri ruang kepada Sri Pahang untuk menguasai permainan dan matlamat kita ialah untuk mencapai keputusan positif Sabtu ini.

“Minggu lalu, Kuching City hampir mendapatkan satu mata namun kesungguhan pemain mencapai kemenangan harus diberikan pujian,” katanya.

Bekas pengendali skuad B-23 tahun kebangsaan itu juga mengakui Sri Pahang ketika ini memiliki prestasi terbaik serta konsisten tidak kira sama ada ketika bermain di tempat lawan atau di laman sendiri.

Mengenai dua pemainnya, Kim Swee juga menjelaskan beliau perlu melihat dahulu keadaan kecederaan yang dialami Telmo Castanheira dan Miguel Cifuentes namun ianya tidak menjejaskan persiapan menjelang perlawanan nanti.

“Saya berharap mereka akan sempat pulih serta membantu pasukan kerana kita perlu memastikan agar Sabah mempunyai pemain yang mencukupi serta seimbang dalam menghadapi perlawanan akan datang,” jelasnya.

Kemenangan keatas Sri Pahang akan memastikan Sabah naik sekurang-kurangnya ke tangga ketiga liga bergantung pada keputusan perlawanan Kedah Darul Aman FC dan Selangor FC yang turut beraksi menentang lawan masing-masing.