KELAB Nottingham Forest telah menuntut supaya pengadil, Rob Jones dilarang daripada mengadili perlawanan mereka.
Pengadil itu secara kontroversi telah menghantar Willy Boly keluar dari padang dalam kekalahan Tricky Trees 3-2 kepada Bournemouth hujung minggu lalu.
Boly diberi kad kuning kedua secara mengejut kerana aksi tackle terhadap Adam Smith, yang sangat mengecewakan para penyokong Forest.
Professional Game Match Officials Ltd (PGMOL) mengakui kesilapan semasa perlawanan tersebut, dengan ketua mereka, Howard Webb, menghubungi Forest untuk meminta maaf atas keterlanjuran.
Namun, Forest dikatakan mahu pegawai liga utama membuat tindakan lanjut dengan tidak membenarkan Jones menjadi pengadil dalam perlawanan mereka.
The Daily Telegraph mendakwa kelab itu telah mengemukakan aduan rasmi dan menuntut untuk mendengar perbualan Jones dengan penggunaan video bantuan pengadil (VAR).
Aduan yang dilaporkan oleh Forest terhadap Jones merupakan yang kedua mereka failkan terhadap pengadil itu. Terdahulu, Jones bertugas di VAR ketika Forest menerima dua keputusan kontroversi menentang Manchester United pada bulan September.
Dia menyokong pengadil di padang, Stuart Atwell, dalam keputusan mengejutkan untuk mengeluarkan Joe Worrall dan pemberian penalti lewat kepada Marcus Rashford.
Ketua baharu Forest, Nuno Espirito Santo yang menggantikan Steve Cooper selepas dipecat menuntut perubahan peraturan dilaksanakan berikutan pengeluaran mengejut Boly.
Jurulatih Portugal itu berkata: “Keputusan yang sangat buruk. Keputusan yang benar-benar mengubah permainan. Lebih mengecewakan apabila mengetahui penilaian pengadil adalah teruk dan undang-undang mengatakan anda tidak boleh membatalkan keputusan itu kerana ia adalah dua kad kuning. Ia adalah sesuatu yang mereka perlu pertimbangkan kerana ia tidak masuk akal.”
“Boly mendapat kad kuning pertama, tetapi kemudian untuk yang kedua, kaki Boly berada di bawah kaki pemain Bournemouth jadi penilaian (dari pengadil) sepatutnya lebih berhati-hati,” ujarnya.
“Penyokong kami layak mendapat keputusan yang lebih baik. Mereka datang ke sini untuk menonton bola sepak dan tiba-tiba mereka melihat sesuatu yang benar-benar mengubah permainan.”
“Saya tahu ini adalah tugas yang sukar. Saya sudah melihatnya berkali-kali dan saya tidak boleh memahaminya, saya tidak boleh memahaminya. Ia teruk. Ini adalah kesilapan, kesilapan besar,” tambahnya.