SELEPAS sejam tanpa jaringan Fernando Forestieri membuktikan dirinya wajar bergelar status penjaring terbanyak Liga Super untuk Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila gol tunggalnya menjadi pemisah ketika menumbangkan PDRM FC.
Beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sedikit licin dan berat kerana hujan, The Cops yang merancang permainan negatif berjaya menyekat JDT daripada menyumbat sebarang jaringan pada babak pertama.
Peluang terbaik Harimau Selatan hadir apabila dihadiahkan sepakan penalti sebelum memasuki bilik persalinan. Malangnya, tendangan diambil Bergson Da Silva diselamatkan penjaga gawang tuan rumah yang melakukan debut peringkat senior, Nor Hakeem Hamidun.
LIGA SUPER 2023
FT : PDRM FC 0-1 Johor Darul Ta'zim
⚽ Fernando Forestieri 61'#LigaSuper2023#sangsakabiru#luaskankuasamujohor pic.twitter.com/FktwMHwGQt
— Flash Sukan (@FlashSukan) April 19, 2023
Bersambung babak kedua, JDT dilihat mula menekan kubu lawan dengan membina rantaian serangan menerusi Arif Aiman dan Diogo tetapi kesemuanya buntu menemui sasaran.
PDRM beraksi 10 pemain apabila Kyaw Min Oo dilayangkan kad merah minit ke-73 kerana dikesan menampan bola menggunakan tangan.
Kesempatan ini diambil anak buah Estaban Solari menggandakan kedudukan, tetapi acap kali dipatahkan benteng pertahanan.
Forestieri nyaris menambah jaringan kedua peribadi pada perlawanan ini, namun sekali lagi Nor Hakeem mempamerkan penyelamatan yang hebat m-86.
Majoriti 1,705 kebanyakan penyokong JDT pulang ceria sebaik sahaja wisel panjang ditiupkan oleh Fitri Maskon mengesahkan kemenangan sekali gus mengukuhkan kedudukan kelab selatan tanah air itu berada di puncak liga dengan 27 mata.