BEKAS pemain Sheffield Wednesday dan Watford , Fernando Forestieri nyata menggunakan pengalaman yang ada pada dirinya untuk memberikan kemenangan 2-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) bertemu Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas Kota Kinabalu, Jumaat.

JDT berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam liga, 41 kali tidak pernah tewas di tempat lawan sejak Mac 2018 dan mencatat rekod bersih menentang Sabah kepada enam kemenangan dari enam perlawanan.

Sejak dari awal JDT mengancam kubu Sabah FC tetapi The Rhinos yang berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-19 apabila Park Tae Su merembat deras sekaligus menggemuruhkan Stadium Likas yang penuh dengan kehadiran penyokong Sabah.

Namun kelebihan itu hanya bertahan tujuh minit apabila Forestieri menjadikan kedudukan 1-1 apabila bijak menerima hantaran Arif Aiman yang menjadi mimpi ngeri buat bek kiri Sabah, Tommy Mawat.

Akhirnya Tommy dibawa keluar pada minit ke-28 selepas dia nyata tidak dapat mengawal pergerakan Arif Aiman dengan Rawilson Batuil mengambil alih tugasnya di benteng.

 

Aksi rancak kedua-dua pasukan menjadikan suasana para penyokong sedikit panas namun berjaya ditenangkan menerusi persembahan penyanyi tempatan yang diminati ramai, Elica Paujin ketika rehat babak pertama.

Khairul Fahmi Che Mat nyata menjadi penyelamat buat Sabah FC apabila beberapa kali menyelamatkan percubaan berbahaya JDT terutama pada minit ke-78 hasil tandukan Fernando Rodriguez.

Seramai 23,523 penyokong yang hadir nyata berang dengan beberapa keputusan pengadil perlawanan yang dilihat meragukan sehingga mencetuskan situasi tegang pada penghujung aksi apabila Jose Embalo hampir bergaduh dengan Leandro Velasquez apabila JDT dihadiahkan sepakan percuma.

Forestieri sekali lagi muncul wira apabila menyempurnakan sepakan percuma cantik pada masa kecederaan untuk memberikan JDT kemenangan 2-1 sekaligus menjarakkan diri selaku pendahulu Liga Super.

Sabah FC pula terpaksa berpuas hati dengan keputusan ini dan masih kekal di tangga kedua dengan 22 mata dan bakal bertemu Terengganu FC pada Selasa juga di Stadium Likas.