PENYERANG import pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Fernando Forestieri ‘menujukan’ kemenangan 3-1 dengan menjulang Piala FA 2022 khas kepada Menteri Besar Kedah dan juga Presiden Kedah FA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Berdasarkan perkongsian Insta Story miliknya selepas perlawanan bertemu Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Forestieri jelas gembira pencapaian dilakarkan bersama kelab JDT.
“Kemenangan ini untuk kawan saya iaitu Muhammad Sanusi Md Nor. Terima kasih atas sokongan anda dan selamat menikmati piala,” kata Forestieri.
Dua gol jaringan penyerang dari Brazil Bergson da Silva, membantu Harimau Selatan menamatkan kemarau empat tahun tanpa gelaran Piala FA.
Lebih manis, ini juga merupakan kejayaan pertama ketua jurulatih baru JDT dari Venezuela Hector Bidoglio, selepas bekas pengendali mereka Benjamin Mora, meninggalkan pasukan berkenaan atas urusan peribadi, Julai lepas.
Kali terakhir JDT menjuarai Piala FA adalah pada 2016 selepas menundukkan PKNS FC 2-1. Piala FA 2020 dan 2021 dibatalkan susulan pandemik Covid-19.