IMPAK positif kehadiran penyokong pada final Divisyen 1, Sepak Takraw League (STL) 2024 di Melaka minggu lalu, dijangka berlanjutan ke saingan Premiere GP Selangor minggu hadapan.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, dengan kejayaan Selangor Pistons muncul naib juara Divisyen 1, mengiringi Kelantan Warriors sebagai juara, naik ke Premier League, bahang kehangatan di Melaka itu pasti akan diteruskan ke Stadium Melawati, Shah Alam untuk saingan GP Selangor dari 11 hingga 15 September ini.

Bahang persaingan Divisyen 1 Sepak Takraw League (STL) 2024, dijangka membawa aura lebih besar apabila Premier League bermula di GP Selangor, minggu hadapan.

“Melihatkan final Divisyen 1 di Melaka antara Kelantan Warriors dan Selangor Pistons, saya yakin kehadiran dua pasukan ini menyemarakkan lagi pentas saingan.

“Kedua-dua pasukan memiliki fans base yang besar dan layak bermain di pentas lebih tinggi,” kata Nicholas, ketika dihubungi.

Menurutnya, kualiti pasukan yang berada dalam Premier League dan Divisyen 1, tentu berbeza namun format GP yang diperkenalkan tahun ini, tidak akan memberi kelebihan kepada pasukan berstatus pilihan sangat.

Nicholas John, Ketua Bahagian Sukan Astro yakin format baharu GP yang menawarkan hadiah wang tunai di setiap 5 GP, bakal meningkatkan lagi kemeriahan saingan STL2024.

“Sudah tentu dari segi kualiti, pasukan dari Premier lebih baik kerana mereka memiliki barisan pemain kebangsaan, namun kehadiran pemain import terutamanya dari Thailand ke dalam sesebuah pasukan, menampakkan perbezaannya, perkara itu juga yang mencetus keghairahan penyokong,” katanya.

Bermula dengan GP Selangor, empat lagi GP akan berlangsung di Terengganu (GP Terengganu) 24 hingga 28 september, GP Perak (9 13 Oktober), GP Penang (16-20 Oktober) dan GP Johor (29 Oktober – 2 November), sebelum saingan Champions Cup kembali ke negeri Selangor, pada 13 hingga 17 November.

“Setiap pasukan mempunyai peluang untuk menjuarai satu daripada 5 GP, malah yang tidak juara sekali pun, mungkin boleh berada pada ranking tertinggi sekiranya konsisten di setiap GP.

“Kita yakin dengan hadiah wang tunai untuk juara di setiap GP, akan memberi semangat kepada setiap pasukan untuk memburu kejuaraan, malah pelaksanaan saingan Divisyen 1 sebelum bermulanya Premier juga memberi petanda saingan kali ini lebih mencabar,” ujar Nicholas mengulas mengenai perubahan format sempena ulangtahun ke-10 penganjuran STL.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan Stadium Melawati di Shah Alam, Nicholas berkata, ia bertujuan memberi peluang kepada peminat sepak takraw menonton aksi di stadium selepas menerima rungutan mengenai tempat duduk terhad di Stadium Titiwangsa.

“Kapasiti di Stadium Melawati adalah 9,000, saya rasa tiada masalah untuk kehadiran penonton yang tinggi kerana ramai yang membawa ahli keluarga menonton.

“Susulan itu juga kita memperkenalkan tiket semusim, kita lebih menguntungkan berbanding pembelian tiket harian,” ujarnya.

Bagi tiket semusim, ia dijual pada harga RM120 untuk satu GP, contohnya GP Selangor berlangsung selama lima hari dan ia boleh diguna pakai untuk setiap hari.

Tiket normal pula dijual pada harga RM15, namun di GP Terengganu dan GP Johor, terdapat dua harga iaitu RM15 untuk upper tier dan RM20 bagi lower tier.

Tiket bagi kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun pula dikenakan RM8 seorang.