PESAING kepada pasukan Mercedes AMG Petronas menjangkakan dan percaya bahawa pasukan itu akan bangkit dan pulih dengan segera selepas melakukan permulaan musim 2023 dengan buruk.
Bekas juara dunia kategori pengeluar tujuh kali itu mengalami satu hujung minggu yang mengecewakan di Grand Prix Bahrain minggu lalu selepas mendapati mereka bukan sahaja berada di belakang Red Bull Racing, Ferrari malah turut dipintas Aston Martin.
Kesukaran yang dialami pasukan Jerman ini mencetuskan idea perubahan pada konsep jentera kerana mereka percaya sesuatu perlu dilakukan secara berlainan jika mereka ingin kembali ke hadapan grid.
Ketika kemungkinan pertukaran ke reka bentuk alternatif yang memaksa Mercedes mengorbankan kelebihan jangka pendek yang ada pada jentera W14 kini, para pesaing lain tidak percaya bahawa pasukan itu akan terus bergelut untuk satu tempoh yang lama.
Mereka juga percaya masih terlalu awal untuk menyatakan bahawa Mercedes sudah terkeluar dari persaingan kelompok hadapan hanya berdasarkan persembahan mereka di Bahrain.
“Ianya hanya perlumbaan pertama dan kita tidak perlu membuat sebarang kesimpulan. Saya rasa Mercedes akan bangkit selepas ini dan kita tidak tahu apa pula yang akan berlaku dalam perlumbaan di Grand Prix Arab Saudi.
“Perlumbaan seterusnya di Jeddah akan mempunyai cerita yang berlainan dengan permukaan litar yang berbeza. Oleh itu mari kita lihat apa yang terjadi di Jeddah untuk melihat gambaran yang lebih jelas,” kata Prinsipal Pasukan Ferrari, Fred Vasseur
Kenyataan Vasseur ini juga turut disokong oleh Penasihat Sukan Permotoran Red Bull Racing, Helmut Marko yang turut percaya Mercedes akan segera bangkit dan dia juga berkata masih terlalu awal untuk menentukan siapakah pesaing terdekat buat pasukannya.
Sementara itu, bos pasukan Red Bull Racing, Christian Horner juga percaya jika Mercedes berpeluang untuk menukar konsep mereka konsep yang lebih baik dari segi prestasi.
“Saya sudah berada cukup lama dalam Formula 1 untuk melihat banyak perkara berubah sekelip mata. Jentera yang ada kini masih belum matang dan dengan pasukan membangunkannya lagi beserta pelbagai tambahan pada jentera, perkara akan berubah,” jelas Horner.
Pusingan kedua Kejuaraan Formula 1, Grand Prix Arab Saudi akan berlangsung dari 17 hingga 19 Mac di Litar Jalanan Jeddah dan adakah Mercedes mampu bangkit? Pastinya satu perlumbaan menarik untuk disaksikan semua peminat sukan terpantas dunia ini.