PETRONAS dan pasukan Formula Satu AMG Mercedes mengumumkan lanjutan tajaan dan kerjasama teknikal melangkaui tahun 2026 dalam memastikan Formula 1 menjadi sukan yang lebih mapan di masa hadapan bersesuaian dengan undang-undang teknikal yang bakal diperkenalkan pada 2026.

Lanjutan penajaan ini akan menjadikan kerjasama antara dua jenama ini adalah kerjasama yang paling berjaya dengan 115 kemenangan Grand Prix dan lapan kejuaraan pengeluar sehingga kini sejak 2010.

Menerusi kerjasama ini, Petronas dan Mercedes AMG Petronas Formula One Team bersama-sama akan mengambil cabaran dalam membangunkan bahan api 100 peratus lestari dan unit kuasa berdasarkan undang-undang 2026 selain dikembangkan untuk turut sama melibatkan fokus tentang penyelesaian teknologi lestari di luar litar lumba.

Datuk Tengku Muhammad Taufik dan Toto Wolff.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata ini adalah tanda bahawa kedua-dua jenama berkongsi cita-cita yang sama dalam membangunkan teknologi yang lebih bersih.

“Apa yang anda saksikan hari ini adalah testimoni kerjasama antara Petronas dan Mercedes AMG Mercedes F1 Team yang sinergia dan berkongsi cita-cita untuk membuka laluan sebagai tanda tanggungjawab yang diberikan kepada sukan ini dan pelanggan kami dengan tenaga yang lebih bersih dan lestari.

“Dengan pengalaman terkumpul sebagai satu pasukan sejak sedekad lalu, dengan keupayaan teknikal dan kepakaran dari semua yang terlibat, Petronas tidak sabar untuk membuka lembaran baharu dengan fokus kepada bahan api lestari untuk Mercedes dan pasukan pelanggan mereka.

Lewis Hamilton dan George Russell turut hadir.

“Bersama-sama dengan rakan kongsi kami, Petronas akan mendorong teknologi bahan api menerusi penawaran yang inovatif yang lebih lestari dan bergerak kehadapan untuk masa depan yang lebih rendah karbon,” katanya dalam majlis menandatangani perjanjian di Kuala Lumpur.

Kerjasama ini turut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Prinsipal Pasukan Mercedes, Toto Wolff yang gembira dengan sejarah baharu ini dan teruja mahu meneruskan kerjasama yang berjaya ini.

“Hari ini kami melakukan sesuatu yang luar biasa iaitu mengumumkan kerjasama yang hanya akan bermula dalam masa empat tahun lagi. Ini memberikan satu mesej penting iaitu pasukan kami dan Petronas bukan lagi rakan kongsi tetapi kami adalah keluarga dan akan menjadi satu pasukan untuk masa yang lebih panjang.

Turut hadir dalam majlis itu adalah dua pelumba pasukan Mercedes AMG Petronas Formula One, juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton dan pelumba muda, George Russell.

Menerusi perjanjian baharu ini, Petronas dan Mercedes kini akan berkerjasama dalam tempoh dua dekad dengan kedua-dua pihak maju menjadikan kerjasama ini kerjasama tajaan paling cemerlang dalam sukan elit global ini.