FRANK Lampard mengkritik persembahan pasukannya yang lemah dalam segala aspek ketika tewas 2-1 di tangan Brighton & Hove Albion di laman sendiri
Pengendali sementara Chelsea itu berkata, dia perlu mengubah keadaan itu sebelum kunjungan Real Madrid ke Stamford Bridge untuk aksi Liga Juara-Juara Eropah.
Juara Eropah 2021 itu kini menghuni tangga ke-11 Liga Perdana Inggeris.
“Mengecewakan di semua peringkat. Pasukan lebih baik menang dan mampu menang lebih besar. Mereka bermain sebagai satu pasukan. Mereka bersama untuk tempoh yang panjang, itu satu kelebihan.
“Namun ia tidak cukup bagus jika melihat kepada persembahan kami. Semua asas bola sepak.. bersaing, berlari dan seumpamanya sangat kurang dalam pasukan ini. Kami perlu mencarinya secepat mungkin.
“Selasa ini perlawanan penting. Tidak ada guna untuk berasa terlalu kecewa, tetapi secara profesional kita perlu faham kenapa kita kalah hari ini,” kata Lampard.
Lampard tewas ketiga-tiga perlawanan sejak kembali ke Stamford Bridge sebagai pengendali, dan dia perlu mengatasi defisit 2-0 pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid untuk menyelamatkan Chelsea musim ini.
Sementara itu, pengendali Brighton, Roberto De Zerbi, yang mengambil alih The Seagulls selepas Graham Potter meninggalkan pasukan dan berpindah ke Chelsea, kini di landasan terbaik untuk membawa kelab itu ke pentas Eropah buat pertama kali musim depan.
Brighton juga berpeluang mara ke final Piala FA sekiranya berjaya menewaskan Manchester United dalam aksi separuh akhir minggu depan.
“Ia satu lagi perlawanan sukar, satu lagi pasukan besar. Manchester United bagi saya adalah pasukan terbaik di Liga Perdana Inggeris, tetapi kami mampu memberi saingan dan menang,” kata De Zerbi. – Agensi