MELIHATKAN prestasi beregu wanita utama, Pearly Tan-M Thinaah di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky memanggil kembali pakar psikologi berpengalaman, Frederick Tan.
Menurut Rexy, khidmat Frederick yang pernah menjadi pakar psikologi kepada Datuk Lee Chong Wei, akan mula bertugas di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 23 Februari ini.
“Kami sememangnya sudah mempunyai sokongan dan bantuan psikologi yang disediakan ISN (Institut Sukan Negara) dan kami memang bekerjasama dengan mereka.
“Namun, kami sentiasa cuba untuk mencari jalan tentang bagaimana kami boleh memberikan yang lebih baik kepada pemain negara.
“Frederick akan memulakan tugasnya pada 23 Februari dan akan duduk dengan semua pemain yang berada dalam RTG. Kami memerlukan Frederick untuk menilai pemikiran pemain bagi mempersiapkan mereka menghadapi Olimpik Paris dan memenangi pingat emas,” kata Rexy.
Kenyataan Rexy itu membuktikan betapa Akademi Badminton Malaysia (ABM) benar-benar mahu memulihkan reputasi Pearly-Thinaah yang sebelum ini pernah mencipta fenomena dengan menjuarai Jelajah Dunia pertama pada Terbuka Perancis 2022.
Rexy berkata, beliau mahu memastikan kedua-dua pemain itu berada pada tahap prestasi terbaik menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
Pearly-Thinaah mengalami kemerosotan prestasi apabila gagal melangkah ke separuh akhir dalam mana-mana kejohanan sejak muncul naib juara Terbuka Hong Kong pada September tahun lalu.
Lebih membimbangkan, Pearly-Thinaah tewas di tangan pasangan ranking ke-30 dunia, Lanny Tria Mayasari-Ribka Sugiarto 14-21, 21-18, 15-21 dari Indonesia, pada suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), semalam.
“Jika mahu cakap bimbang, sudah tentu saya bimbang dengan prestasi mereka tetapi apa yang lebih penting adalah bagaimana kita mahu mengatasi perkara ini.
“Saya tidak kata yang mereka ada masa depan cerah kerana saya bukan Tuhan tetapi saya akan lakukan apa sahaja dengan kuasa yang saya ada bagi melonjakkan semula prestasi mereka. Ini sememangnya adalah tanggungjawab saya.
“Namun, mereka juga perlu menunjukkan keinginan tinggi bagi meningkatkan prestasi dan berjuang untuk memenangi pingat di Olimpik. Ia tidak boleh hanya datang daripada jurulatih,” kata Rexy.