SKUAD Futsal Johor Darul Ta’zim mengesahkan menandatangani pemain import baharu dari Thailand dan sudah memulakan latihan bersama-sama bagi menghadapi pusingan kedua Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL).
Kehadiran pemain skuad kebangsaan Thailand, Tanatul Tadavirot secara pinjaman selama enam bulan bakal menambah lagi sengat serangan menggantikan tonggak import sebelum ini dari Iran, Abdul Rahman Sarani yang mengalami kecederaan.
Tanatul atau mesra disapa Nino dalam dunia futsal di Thailand adalah bekas pemain kelab gergasi liga futsal Thailand, Bluewave Chonburi bakal bergandingan dengan pemain-pemain kebangsaan dan dijangka menjadi aset terbaik buat JDT selepas ini.
Tambah menarik, Tanatul turut mempunyai reputasi hebat apabila mewakili kelab Liga Futsal Sepanyol, Club Deportivo Xota selama semusim pada 2021/22 dimana dia berjaya menjaringkan satu gol ketika beraksi di sana.
Selain memiliki kepantasan dan kelincahan, pemain bertubuh kecil itu mempunyai kekuatan fizikal dan tambah menarik dia turut fasih berbahasa Sepanyol yang akan memudahkan komunikasinya bersama ketua jurulatih, Juan Antonio Miguel Garcia.
JDT pantas mengambil kesempatan pembukaan jendela perpindahan kedua saingan MPFL pada 1 Mei dan ini menunjukkan JDT serius untuk meraih kejuaraan dan menyekat penguasaan Selangor MAC dan Pahang Rangers.
Selepas menamatkan pusingan pertama JDT ditangga teratas Kumpulan B selepas mencatatkan lima kemenangan dan satu kekalahan untuk mengumpul 15 mata dan akan memulakan cabaran pusingan kedua menentang Shah Alam City di Stadium Tertutup Pasir Gudang pada 14 Mei 2023.