SKUAD futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) menambah kekuatan pasukan menjelang sepak mula Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) yang dijadualkan pada Januari 2024 dengan membawa masuk bekas pemain kebangsaan, Yazid Kamaruzuan dari Selangor TOT United.

Pemain berusia 31 tahun itu sememangnya terkenal sebagai pemain yang versatil dan mempunyai penyudah tajam serta sifat kepimpinan tinggi dimilikinya berjaya mencuri tumpuan barisan kejurulatihan JDT yang diketuai Juan Antonio Miguel Garcia untuk membawanya ke kelab itu dalam musim kedua mereka di MPFL.

Dalam kempen MPFL 2023, Yazid berjaya menjaringkan 13 gol dan turut cemerlang ketika berhadapan dengan JDT sewaktu menyarung jersi Selangor TOT United dengan meledak hatrik ketika aksi pusingan kedua liga yang berlangsung di Pasir Gudang serta separuh akhir pertama di Shah Alam.

Aset kekuatan yang ada pada Yazid dilihat mampu untuk meningkatkan kemampuan JDT untuk memburu kejuaraan selepas dua kali kecewa di tangan Pahang Rangers dalam saingan MPFL dan Piala Malaysia Futsal musim ini.

Dengan misi yang tampak jelas mahu mengungguli kancah futsal tempatan selepas mendominasi dalam bola sepak, JDT turut merekrut jurulatih kecergasan baharu, Jesus Rey Gonzales sebagai persiapan sebelum menghadapi kempen pra musim.

Turut dikhabarkan, JDT akan mengambil dua pemain import berpengalaman yang bermain di Liga Futsal Sepanyol untuk mengisi dua kuota pemain import yang dibenarkan pada saingan MPFL musim hadapan.

Dalam musim pertama JDT dalam arena futsal tanah air, Harimau Selatan berjaya muncul naib juara MPFL dan Piala Malaysia Futsal dan pastinya akan tampil lebih hebat musim hadapan.