Foto : Sorawit/Sne Sports

JURULATIH skuad futsal Malaysia, Rakphol Sainetngarm berharap para pemain akan menikmati keseronokan sepanjang Kejohanan Futsal NSDF 2024 di Thailand.

Mesra disapa ‘coach Mhee’, dirinya mendedahkan Malaysia akan menjadi ‘pasukan lawan simulasi’ untuk Thailand sebelum mereka beraksi dalam Piala Asia Futsal AFC 2024.

Ia berikutan Thailand akan bertemu dua pasukan Asia Tenggara dalam kumpulan iaitu Vietnam dan Myanmar.

“Terima kasih kepada FA Thailand dan Adisak Benjasiriwan, Naib Presiden FA Thailand, kerana menjemput Malaysia untuk menyertai kejohanan ini,” kata Rakphol dalam sidang akhbar.

 

“Saya harap para pemain saya akan mendapatkan pengalaman berharga dalam kejohanan ini dan berdepan dengan pasukan-pasukan besar di Asia, terutamanya Thailand dengan jurulatih Miguel dan Australia, Afghanistan juga pasukan yang baik.

“Kali ini, Malaysia akan menjadi pasukan lawan simulasi untuk Thailand sebelum Piala Asia Futsal AFC 2024 kerana Thailand mempunyai Vietnam, Myanmar, dua pasukan dari Asean dalam kumpulan.

“Saya harap para pemain saya akan menikmati dan memberikan persembahan terbaik dalam kejohanan ini,” ujarnya lagi.

Malaysia akan berdepan dengan Afghanistan dalam perlawanan pertama diikuti oleh perlawanan kedua menentang tuan rumah, Thailand (Isnin) dan perlawanan ketiga menentang Australia (Rabu).

Seterusnya, pada Khamis, pasukan ketiga dan keempat dalam format liga round-robin akan bertembung untuk perlawanan penentuan tempat ketiga, manakala dua pasukan teratas akan bertemu dalam final untuk menentukan juara.

Skuad futsal Harimau Malaya akan kembali ke tanah air pada 29 Mac untuk menyambung kem latihan pusat tempatan sebelum terbang pula ke Ho Chi Minh City, Vietnam pada 5 April bagi mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di sana dan pulang ke tanah air pada 9 April.