PASUKAN futsal negara gagal meraih kemenangan dalam ketiga-tiga perlawanan selepas tewas kepada Australia 3-4 dalam Kejohanan Futsal NSDF 2024 di Gimnasium PAO Nonthaburi pada Rabu.
Malaysia memulakan perlawanan dengan strategi menyerang, mencari peluang untuk mencipta gol berbanding Australia.
Walaupun berjaya mendahului 2-0, skuad kendalian Rakphol Sainetngam akur kebangkitan Australia untuk menamatkan aksi dengan tewas 3-4.
Rakphol menyatakan rasa kecewa kerana tidak dapat memenangi perlawanan tersebut selepas berada di hadapan dengan jaringan 2-0.
“Sayangnya, kami tidak dapat memenangi perlawanan hari ini selepas di depan dan skor dua gol. Tetapi pemain berpengalaman, terkadang lawan mengepung dan selepas bolos, itu membuatkan kami terjelepok,” katanya selepas perlawanan.
Meskipun demikian, pengendali asal Thailand itu mengagumi kekuatan Australia dan berharap pasukannya dapat memenangi sekurang-kurangnya satu perlawanan dalam kejohanan.
Rakphol juga akan memotivasikan pemain dan memastikan keadaan fizikal mereka cergas, walaupun perlawanan berlangsung pada bulan Ramadan.
Malaysia akan bermain perlawanan tempat ketiga pada Khamis.