GABUNGAN empat negeri pada penganjuran Sukan Sea 2027 dilihat mampu mengatasi isu logistik, dan mengelakkan masalah kesesakan di ibu negara.
Gabungan Sarawak, Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur itu menjadikan penganjuran temasya tidak berpusat, sekali gus mengurangkan masakah kesesakan.
Bekas Ketua Kontinjen Negara (CDM) Sukan SEA 2017, Datuk Marina Chin berkata, keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang membuka peluang kepada negeri untuk bersama-sama menganjurkan sukan itu, satu tindakan yang betul.
Malah, Marina yakin negeri terlibat juga boleh menonjolkan keistimewaan yang ada di negeri mereka.
“Saya rasa itu satu idea yang bagus kerana ia dapat membantu kerajaan untuk memastikan mengurangkan masalah yang terkumpul di satu tempat seperti logistik yang melibatkan kesesakan lalu lintas, kos dan lain-lain lagi.
“Kerajaan negeri juga dapat menonjolkan keistimewaan di negeri mereka dan pada saya, kita dapat berkongsi penganjuran dengan empat buah negeri ini adalah satu langkah yang sangat baik,” katanya, ketika ditemui di Konvoi Jiwa Merdeka.
Terdahulu, KBS mengesahkan Malaysia menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) untuk menjadi tuan rumah temasya dwi tahunan itu pada 2027.