PENJAGA gol Selangor FC, Samuel Somerville gembira dapat membantu pasukannya meraih tiga mata penuh keatas Kuching City FC pada Isnin meskipun sedikit kecewa kerana gagal mendapatkan ‘clean sheet’ apabila dibolosi pada minit terakhir perlawanan.

Sam yang melakukan penampilan kedua bersama Gergasi Merah musim ini beraksi cemerlang terutama pada babak kedua apabila menghalang percubaan satu lawan satu Abu Kamara dan mahu membuktikan kemampuan dirinya berdasarkan persembahannya dalam perlawanan ini.

“Saya tidak mempunyai mempunyai banyak minit permainan musim ini dan saya dapat selamatkan beberapa percubaan bahaya tetapi kurang gembira kerana tidak berjaya kekalkan ‘clean sheet‘ namun tiga mata itu lebih penting buat pasukan.

“Sukar untuk saya kekalkan prestasi apabila jarang bermain namun akan lakukan yang terbaik apabila diperlukan jurulatih. Sudah tentu saya mahu bermain dan saya bekerja keras dalam latihan dan ianya terpulang pada jurulatih siapa hendak diturunkan.

“Saya bermain bola sepak untuk bermain seberapa banyak permainan kerana saya kini berusia 28 tahun dan sudah menghampiri tahap ‘peak‘ sebagai penjaga gol. Saya tidak tahu apa akan jadi akan datang tetapi saya memang mahu dapatkan minit permainan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Ditanya sama ada dia berpeluang merebut tempat dalam skuad kebangsaan ke Piala Asia, Sam segera menolak kemungkinan itu melainkan dia diberi peluang untuk bermain secara kerap di peringkat kelab.

“Peluang terpilih ke skuad kebangsaan hanya akan dinilai berdasarkan minit permainan di kelab dan saya tidak jangka akan ada dalam senarai melainkan saya bermain pada tahap terbaik saya di kelab dan itu perkara paling penting sekali.

“Seperti saya katakan, bukan mudah bila tidak beraksi kerana latihan adalah berbeza dengan minit permainan kerana ianya penting terutama bagi penjaga gol kerana dari situ kita dapat belajar dan raih pengalaman.

“Saya hanya perlu fokus dan tepis segala persoalan yang menggangu diri seperti apa silap saya kerana tidak dapat beraksi tetapi banyak perkara positif dari musim lalu yang buatkan saya kuat. Kelab juga beruntung kerana mempunyai dua penjaga gol yang baik dan persaingan ini jadikan kami sentiasa bersedia untuk diturunkan,” tambahnya.