NASIB Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dalam Program Road to Gold (RTG) hanya akan diputuskan selepas Jawatankuasa itu bermesyuarat, tidak lama lagi, biarpun penerjun negara itu sah gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan perkara itu, kerana beliau akan berbincang dengan Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam bagi memanggil mesyuarat Jawatankuasa RTG tidak lama lagi.

Menteri Belia dan Sukan merangkap pengerusi bersama program RTG, Hannah Yeoh, hanya akan berkongsi kedudukan Datuk Pandelela Rinong dalam RTG selepas mesyuarat jawatankuasa RTG dijalankan. | FOTO KBS

“Saya tidak mahu jawab itu dulu (kedudukan Pandelela dalam RTG) hari ini, saya hanya mahu fokus sesi perbincangan meja bulat hari ini. Nanti kita akan panggil sidang media khas.

“Saya akan bincang dengan Datuk Stuart untuk koordinasi mesyuarat tidak lama lagi dan kita akan jawab dalam sidang media itu,” katanya, ketika ditemui selepas mempengerusikan Sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD) berkaitan pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas yang berlangsung di Menara KBS di sini, hari ini.

Pandelela terlepas tiket ke Paris dalam acara kegemarannya 10 meter (m) platform individu, apabila terkandas di pusingan kelayakan Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.

Datuk Pandelela Rinong, tenggelam dalam terjunannya di Doha.

Lebih malang, Pandelela sekadar menduduki tempat ke-29 daripada 46 peserta.

Selepas itu, Pandelela gagal melayakkan diri bagi acara 10m platform seirama bersama gandingannya Nur Dhabitah Sabri, apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-12 daripada 16 peserta.

Hanya 12 penerjun terbaik individu, layak ke Paris 2024 manakala hanya empat pasangan terbaik mendapat slot bagi acara seirama.

Percubaan Nur Dhabitah Sabri bersama Datuk Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama turut gagal membawa mereka ke Paris.

Pandelela memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik London 2012 dalam acara 10m platform individu, menjadi atlet wanita pertama negara meraih pingat di temasya terbesar dunia itu sebelum dia meraih perak bersama gandingannya, Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama di Olimpik Rio 2016.

Sekatat ini, hanya seorang atlet terjun negara iaitu Bertrand Rhodict Lises, mengesahkan tiket ke Olimpik Paris selepas berjaya berada dalam kelompok 12 terbaik pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun pada Julai tahun lalu.

Namun, Bertrand tetap dimasukkan ke RTG, sebaliknya dikekalkan dalam program Podium.