PENGENDALI pasukan Oman, Branko Ivankovic telah dipecat susulan aksi yang kurang memberangsangkan telah dipamerkan oleh pemain-pemainnya dalam pentas Piala Asia 2023.

Perkara ini telah disahkan menerusi satu hantaran yang dimuat naik ke dalam Instagram rasmi Persatuan Bolasepak Oman yang menyatakan bahawa pihak persatuan tidak berminat untuk melanjutkan khidmat ketua jurulatih semasa itu.

Dalam erti kata lain, Ivankovic dianggap telah gagal memacu skuad Oman untuk memberi saingan yang mantap kepada lawan yang berada dalam Kumpulan F Piala Asia Qatar iaitu Arab Saudi, Thailand dan Kyrgyztan.

Dalam ketiga-tiga perlawanan yang berlangsung di Doha, Qatar, mereka hanya berjaya meraih dua mata termasuk keputusan seri dalam pertemuan dengan Kyrgyzstan pada malam Khamis.

Untuk rekod, Ivankovic yang sudah mengetuai pasukan Oman sejak tahun 2020 akan meninggalkan pasukan Timur Tengah yang kini berada di kedudukan ke-74 dunia, hasil kendaliannya.

Tambahan, Malaysia pula dijadualkan akan bertemu pasukan Oman pada bulan Mac depan dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026.