Kredit Foto – TFC

MESKIPUN gagal memenangi hati penyokong Terengganu FC (TFC), ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner tetap mempertahankan aksi pemain tengah, Liridon Krasniqi.

Menurut pengendali kelahiran Croatia itu, Liridon beraksi lebih baik daripada jangkaannya serta berfungsi sebagai jeneral di bahagian tengah TFC bersama Habib Haroon.

Menyedari kritikan penyokongnya sendiri, Tomislav mengakui, Liridon bukan pemain ‘sempurna’ bagi membantu jentera serangan namun masih memiliki kualiti serta berpengalaman luas.

“Dia (Liridon) seorang yang memahami bola sepak, dalam setiap perlawanan Liridon membuat sentuhan bola lebih banyak berbanding rakan-sepasukannya yang lain.

“Malah dalam setiap perlawanan juga, dia membuat purata larian 10 kilometer dan itu menunjukkan usaha kerasnya membantu pasukan walaupun ramai mengkritik aksi beliau.

“Liridon bukan perancang yang boleh menggelecek atau menjaringkan gol tetapi dia tetap berfungsi dengan baik, cuma keputusan tidak memihak TFC,” katanya.

Sejak menyarung jersi Sang Penyu secara pinjaman, Liridon membuat sembilan penampilan dan hanya mencetak satu gol iaitu ketika bertemu Kelantan United, 31 Mac lalu.

Hadir dengan reputasi pemain naturalisasi, aksi Liridon bagaimanapun menerima cemuhan peminat selepas gagal mempamerkan prestasi terbaik bersama TFC.

Diaibkan 1-5 oleh Selangor disusuli kekalahan 1-2 kepada Sri Pahang FC pada Jumaat, menyaksikan TFC jatuh ke kedudukan kelapan Liga Super dengan hanya 13 mata daripada 10 perlawanan.

“Hanya Sony Norde memiliki kemampuan serta kelincahan sebagai perancang bagi membantu penyerang kami manakala Liridon lebih kepada pemain tengah tulen bersama Habib.

“Kami bermain baik tetapi apa yang boleh saya katakan, nasib tidak menyebelahi pasukan dan tiada siapa gembira dengan kedudukan TFC dalam carta liga ketika ini,” tambahnya.