SKUAD Melaka FC yang bersaing di Liga MBSB Bank Championship bakal melakukan rombakan besar-besaran termasuk mengambil jurulatih baharu untuk musim hadapan selepas gagal menepati sasaran layak ke Liga Super musim ini.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Pemilik Melaka FC, Datuk Nur Azmi Ahmad yang menyatakan rombakan perlu dilakukan selepas kelab itu sekadar di tangga kesembilan Liga MBSB Bank Championship selepas berakhir 22 perlawanan.

“Saya tubuhkan Melaka FC sebab nak beli semula jiwa rakyat Melaka namun sasaran dua tempat teratas dan layak ke Liga Super musim ini tidak tercapai. Saya akan teruskan perkara ini untuk musim hadapan kecuali pihak MAFA (Persatuan Bola Sepak Melaka) ingin membeli kelab ini.

“Saya akan berikan peluang kedua kepada pemain dan mungkin akan ambil pemain yang lebih baik kerana kami adalah kelab terbaik dari segi kewangan dengan pembayaran gaji dua kali sebulan, caruman KWSP dan juga Socso semuanya dilakukan tepat pada masanya di Liga MBSB ini.

“Rombakan akan dilakukan dengan pilih pemain baharu selepas ini dan akan umum jurulatih baharu selepas tamat kempen Liga Super,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Hangzhou.

Nur Azmi juga berkata pengurusan kelab ini yang baik juga mendapat perhatian para pemain dan jurulatih berpengalaman yang menawarkan diri untuk bermain dengan Melaka FC dan dia juga mahu membuktikan peranannya dalam kelab ini bukan sekadar jawatan tetapi lebih kepada mendapatkan keputusan yang baik.

“Banyak pemain nampak pengurusan kami adalah yang terbaik dan mereka ada tawarkan diri nak bermain dengan kami dan ada beberapa jurulatih berpengalaman juga mahu menjadi pengendali dan untuk musim depan, saya mahukan pemain tempatan yang ingin bermain.

“Saya mahu ke Liga Super dan akan lakukan yang terbaik kerana saya mahu apa yang dibelanjakan itu mendapat pulangan kerana saya duduk di dalam kelab bukan hanya mahu pakai ‘coat and tie‘ sebaliknya mahukan keputusan yang baik,” jelasnya.

Melaka FC juga mengesahkan sudah menamatkan kontrak pemain naturalisasi pertama negara Guilherme De Paula dan akan fokus kepada pembaharuan pasukan untuk musim hadapan.