LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa badan bebas First Instance Body (FIB) telah mencapai keputusan untuk tidak memberikan Lesen Kebangsaan kepada Kelab Bola Sepak Perlis United (PUFC).

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, ia susulun kegagalan PUFC memenuhi syarat-syarat tambahan selepas pengumuman berkenaan keputusan Lesen Luar Biasa (Extraordinary License) Liga Bolasepak Amatur (AFL) pada 7 Mac 2024.

Sebelum ini, FIB telah menetapkan syarat untuk memastikan semua usaha wajar kewangan diselesaikan sebelum mengeluarkan sebarang lesen kepada PUFC mengikut kriteria tambahan yang diberikan.

“Antara kriteria tambahan tersebut adalah, dana yang diterima dalam akaun PUFC berjumlah RM 5,000,000 seperti dalam cek yang dikemukakan sebelum 9 Mac 2024 serta pengisytiharan yang ditandatangani oleh pegawai dan pemain bahawa tiada hutang tertunggak pada 31 Disember 2023 sebelum 13 Mac 2024,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Perlis tidak berjaya mengemukakan kriteria tambahan yang diminta oleh FIB sendiri.

Selain itu, perjanjian penajaan yang dicop antara PUFC dan setiap satu daripada empat penaja berpotensi yang akan diserahkan sebelum 15 Mac 2024 serta pembayaran dana tajaan pertama yang diterima oleh PUFC daripada penaja di atas, berdasarkan syarat pembayaran tajaan sebelum 22 Mac 2024.

Walaupun tarikh akhir penyerahan pada 22 Mac 2024 masih belum berakhir, namun FIB mengesahkan bahawa PUFC telah gagal melepasi tiga daripada empat syarat awal itu kerana tidak mengemukakan sebarang dokumen seperti yang diminta dan telah melanggar semua tarikh akhir yang diberikan.

Oleh itu, FIB telah memutuskan untuk tidak memberikan lesen Liga Super 2024-2025 kepada PUFC.

Kegagalan PUFC untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan tersebut menyaksikan hanya 13 kelab yang akan bersaing dalam Liga Super bagi musim 2024-2025.

Artikel Berkaitan: Perlis United FC dalam pertimbangan akhir ke Liga Super