NOR Sarah Adi yakin pertahan pingat emas Sukan SEA 2023 dalam acara lompat bergalah wanita, biarpun dihimpit beberapa situasi tidak disenangi.

Atlet berusia 22 tahun dari Pahang itu berkata, misi pertahan emas itu mungkin dapat ditunaikan ketika dia dijangka menggunakan galah baharu, selepas insiden malang kehilangan galah sebelum final Sukan Malaysia 2022, September tahun lalu.

“Untuk Sukan SEA Kemboja, saya akan fokus berlatih menggunakan galah baharu yang lebih panjang serta kuat yang biasanya digunakan atlet lelaki.

“Galah mengikut spesifikasi atlet lelaki ini berukuran 4.45 meter (m) akan dapat memberikan momentum lebih tinggi dan akan disesuaikan dengan kelajuan, cara saya berlepas (take off). Saya masih baharu menggunakannya kira-kira dua minggu dan saya yakin dapat selesakan diri dengan galah lebih panjang ini,” kata Sarah, selepas menjalani latihan persiapan ke Sukan SEA di Bukit Jalil.

Nor Sarah Adi mahu kekal positif, hadapi cabaran masa hadapan.

Mengakui belum menguji keupayaan menggunakan galah lebih panjang pada kejohanan antarabangsa, Nor Sarah dijangka mampu menguji kemampuannya di Kejohanan Tertutup Antarabangsa Taiwan, bermula esok.

Meskipun mengakui berdepan situasi sukar tanpa jurulatih di sini, bekas Ketua Jurulatih Olahraga, Manshahar Abdul Jalil masih tetap memantau latihannya, dari jauh.

“Menggunakan galah lebih panjang ini juga cadangan daripada jurulatih Manshahar selepas dia katakan saya sesuai dan mampu menggunakannya.

“Saya dan jurulatih hanya berinteraksi melalui perbualan video atau telefon kerana dia tidak boleh hadir ke sini kerana kontrak ditamatkan lebih awal, sepatutnya tamat Mac.

“Jurulatih baharu, Roslinda Samsu juga belum bermula kerana belum ada pelantikan. Tapi tak mengapa saya  perlu hadapi semua ini,” katanya.

Sebelum ini Mohd Manshahar Abdul Jalil dikatakan bersara, tamat kontrak dan sebagainya, namun sehingga kini Nor Sarah Adi tiada guru rasmi dan Manshahar masih menjaganbya biarpun menerusi jarak jauh.

Kotrak Manshahar ditamatkan Februari lepas dan sehingga kini, isu kejurulatihan belum diselesaikan dan difahamkan semuanya berkaitan dengan pembentangan bajet 2023 yang belum diluluskan di Parlimen.

Mei tahun lalu, Nor Sarah mencipta kejutan merangkul pingat emas Sukan SEA di Hanoi, sekali gus menamatkan kemarau 11 tahun Malaysia selepas atlet terbabit mencatat lompatan terbaik peribadi pada ketinggian 4m, mengatasi atlet Thailand, Chonticha Khabut (3.80m) dan Alyana Martinez dasri Filipina (3.60m).

Pada Sukan SEA Hanoi, Nor Sarah turut menyumbang pingat gangsa dalam acara 4x100m wanita bersama S.Komalam, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Azreen Nabila Alias.